Banjir kilat: Dun Kesidang perlu RM100,000

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Peruntukan lebih RM100,000 diperlukan bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang kepada isu banjir kilat di beberapa kawasan di Dun Kesidang di sini.


Adun Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, peruntukan diperlukan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat terutama untuk membuat terusan bagi mengelak kawasan rendah dinaiki air setiap kali hujan lebat.


Menurutnya, antara kawasan sering terdedah kepada kejadian banjir kilat ini termasuk di Taman Pandan Mawar, Kampung Kolam dan Kampung Limbongan.


Menurutnya, pihak pakar akan dipanggil bagi membuat kajian dan pemantauan bagi mengenal pasti sama ada kejadian banjir kilat yang sering berlaku di kawasan ini ada kaitannya dengan kerja-kerja penambakan laut yang dijalankan di kawasan berhampiran.


“Saya difahamkan masalah banjir kilat sebegini sudah berlaku lebih 20 tahun.


“Dari tinjauan, ia didapati berpunca dari longkang kecil yang tidak dapat menampung bebanan air yang tinggi ketika musim hujan.


“Saya berharap penduduk di kawasan ini akan bersabar dan berilah kami sedikit masa kerana kami sememangnya sedang berusaha mengatasi masalah ini,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Shoo Chin berkata, usaha membasmi penularan denggi akan dilakukan di DUN berkenaan, terutama di Kampung Limbongan, susulan merebaknya penyakit berkenaan di kampung terbabit yang menyaksikan lima penduduk dimasukkan ke hospital.


Jelasnya, sebagai usaha pembasmian, satu gotong-royong membabitkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Swm Environment Sdn Bhd telah diadakan di kampung berkenaan baru-baru ini.


Secara keseluruhan, menurutnya, Melaka mencatatkan sebanyak 300 kes denggi sehingga Julai tahun ini, menurun dari 857 kes untuk tempoh sama tahun lalu.


“Pun demikian saya akan menganjurkan gotong-royong dan kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan dalam Dun ini yang dikenalpasti sebagai kawasan penularan denggi,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]