Cucu Nelson Mandela hargai aktivis remaja Palestin

in Global by


CAPE TOWN – AFRIKA SELATAN . Mandla Mandela, cucu Nelson Mandela mengumumkan jemputan khas buat aktivis remaja Palestin, Ahed Tamimi ke Afrika Selatan bagi menyertai sambutan hari jadi ke-100 mendiang pejuang anti-Apartheid itu.


Jemputan itu juga bertujuan memberikan anugerah istimewa kepada Tamimi di atas keberaniannya dan kerana menjadi simbol harapan kepada berjuta rakyat.


Menurut laporan media Afrika, Mandla berjanji akan terus menyokong perjuangan warga Palestin dan memboikot barangan Israel sehingga bumi suci itu bebas daripada penaklukan.


Dalam sebuah temuramah sebelum ini, Tamimi yang pernah melawat Afrika Selatan pada 2017 dalam jelajah bersama kumpulan Shamsaan Pals4Peace berkata, beliau bangga dengan tokoh perjuangan hak asasi manusia seperti Mandela dan Ghandi.


Beliau mahu belajar dari kedua-dua tokoh yang berjaya membebaskan negara mereka dari penjajah tanpa pertumpahan darah.


“Saya tidak mahu menjadi seorang mangsa. Pada saya, askar Israel telah melalui proses ‘brainwash’ sehingga minda mereka tidak boleh membezakan mana yang betul dan salah.


“Pada saya, kami harus menjadi wanita yang kuat seperti Saidatina Khadijah Khuwailid, isteri Rasulullah Muhammad S.A.W,” katanya.


Ayah Tamimi pernah dipenjara sebanyak sembilan kali, ibunya pula pernah ditahan lima kali, abangnya pernah dipenjara dua kali dan adiknya sekali.


Dibebaskan pada Ahad lalu, Tamimi telah dijemput untuk bertemu dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di pejabatnya di Ramallah. – Agensi


 


 


 


 


Source: SH Global

[featured-video-plus]