Desak Kula letak jawatan

in Nasional by


MELAKA TENGAH – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka mendesak Naib Presiden DAP, M Kula Segaran meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia serta dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948.


Yang Dipertua Isma Melaka, Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, desakan itu berikutan kenyataan berbaur perkauman Ahli Parlimen Ipoh Barat tersebut pada majlis di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


Menurutnya, Kula Segaran dalam video tular berdurasi 1.25 minit itu menyatakan Melayu pendatang ketika berucap dalam bahasa Tamil pada majlis berkenaan.


“Oleh itu, kami desak beliau letak jawatan sebagai menteri dan didakwa ikut undang-undang kerana kesalahan menghasut.


“Kenyataan itu menghasut sebahagian kaum India untuk turut pertikai hak orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh, semalam.


Hadir sama, Naib Yang Dipertua Isma, Shuhaib Ar-Rumy Selamat, Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia Isma, Nurul Aizam Zaini serta 20 ahli Isma Melaka.


Jelas Mohd Khoushaini, Kula Segaran perlu membetulkan kenyataan kerana orang India di negara ini datang ke Tanah Melayu oleh orang Inggeris semasa zaman penjajahan Inggeris.


“Paling penting, kenyataan menuduh Melayu sebagai pendatang tidak benar kerana orang Melayu penduduk asal negara dan dibukti melalui sejarah,” tambahnya.


Katanya, dakwaan Kula Segaran bahawa kaum India wujud sejak 2,500 tahun lalu berdasarkan bukti candi di Lembah Bujang, Kedah juga mengarut kerana umumnya usia candi kecil di tapak arkeologi itu tidak sampai 2,000 tahun.


“Sebagai menteri bermoral, beliau tidak sepatutnya buat kenyataan liar seperti itu yang boleh menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum,” tegasnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]