Ekstradisi Sirul: Perlu ubah undang-undang hukuman mati

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Negara perlu mengubah undang-undang berkaitan hukuman mati sekiranya ingin mengekstradisi Sirul Azhar Umar yang kini dalam tahanan Imigresen Australia.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini berikutan undang-undang Australia tidak membenarkan individu yang berdepan hukuman mati dihantar pulang ke negara asal.


“Kita perlu mengubah undang-undang hukuman mati terlebih dahulu untuk mendapatkan ekstradisi. Ini kerana kita tahu bahawa mereka (Australia) tidak akan mengekstradisi ke negara yang mempunyai hukuman mati,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.


Terdahulu, Menteri Luar Australia, Julie Bishop mengesahkan tiada sebarang permohonan ekstradisi daripada Malaysia untuk membawa pulang Sirul Azhar.


[ARTIKEL BERKAITAN: Australia sahkan tiada permohonan ekstradisi Sirul]


Menurut Wan Azizah, isu itu juga tidak dibincangkan secara khusus dalam pertemuan dengan Bishop pagi tadi.


Sirul merupakan bekas anggota polis yang disabitkan bersalah membunuh penterjemah warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.


Sirul disabitkan tuduhan membunuh Altantuya pada 2009, dijatuhi hukuman gantung sampai mati bersama-sama rakan sejenayah beliau, Azilah Hadri.


Mereka dibebaskan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan pada 2013 selepas menimbulkan persoalan tentang cara bagaimana perbicaraan dijalankan.


Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas mereka pada 2015.


Sirul melarikan diri ke luar negara sebelum penghakiman itu dibuat dan ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sepanjang tiga tahun lepas.


Menurut undang-undang Australia, beliau tidak boleh dihantar pulang ke Malaysia kerana berhadapan dengan hukuman mati.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]