Guru ‘duka lara’ masih ada harapan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kelewatan kelulusan bagi permohonan pertukaran guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak yang mahu kembali ke semenanjung negara adalah kerana kekurangan permohonan guru untuk bertukar ke dua negeri itu.


Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata sehingga kini bilangan guru memohon untuk keluar dari Sabah dan Sarawak adalah 5,573 berbanding yang ingin masuk mengajar ke Sarawak dan Sabah hanya 857.


“Permohonan mereka tidak dibekukan tetapi dipertimbangkan dan diberi keutamana kepada mereka yang ingin masuk ke Sabah dan Sarawak,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) di Parlimen, hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor lain kelewatan kelulusan pertukaran guru disebabkan kekangan tertentu termasuklah kekurangan guru pengganti khususnya melibatkan subjek pendidikan Islam.


“Mungkin ramai bertanya kurangnya pertukaran guru pada bulan-bulan terakhir ini berbanding dengan permintaan untuk pertukaran ianya banyak bergantung kepada faktor seperti guru memohon bertukar itu merupakan guru yang  mengajar kelas peperiksaan, pada tahun ini dan permohonan mereka akak dibawa selepas tamat peperiksaan.


“Antara faktor lain ialah melibatkan gurun yang mengajar subjek kritikal seperti subjek pendidikan Islam di Sabah dan Sarawak, kalau mereka ditukarkan maka kita akan hadapi kekurangan guru sana bagi subjek pendidikan Islam,” katanya.


Justeru beliau menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak membekukan permohonan pertukaran guru khususnya melibatkan Sabah dan Sarawak.


“Saya ingin maklum bahawa tidak ada pembekuan di pihak KPM dan kita masih meneruskan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, di mana perkara utama yang akan diambil kira KPM untuk meluluskan permohonan pertukaran guru berdasarkan kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan pilihan di negeri yang dipohon.


“KPM memberi keutamaan kepada pemohon atas alasan untuk mengikuti pasangan selain turut menimbangkan juga kelulusan bagi kes lain seperti kes sakit kronik dan kes ancaman keselamatan,” katanya.


Kementerian Pendidikan telah meluluskan sebanyak 11,606 permohonan pertukaran kes guru duka lara dalam tempoh 1 Januari 2016 hingga 1 Januari 2018.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]