Guru praktikal mengaku berkhalwat dengan pelajar

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang guru praktikal didenda RM2,700 oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana berkhalwat dengan pelajarnya di sebuah hotel murah di bandaraya ini.


Lelaki berusia 25 tahun dan berasal dari Kelantan  turut berdepan hukuman sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.


Keputusan dibuat selepas dia mengaku salah berkhalwat dengan seorang pelajar tingkatan empat  yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.


Manakala pasangannya, dari Seberang Takir, Kuala Nerus, dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun selain diarahkan menjalani enam kali sesi kaunseling bersama Pegawai Agama.


Keputusan dibuat Hakim Mohd Fakhruddin Yusof, manakala kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Hafiz Razali.


Mengikut fakta kes, satu serbuan ke atas bilik di sebuah hotel murah di Jalan Kota Lama, di sini, dilakukan kira-kira jam 10.45 malam, pada 11 Januari lalu.


Ketika sampai, didapati pintu utama bilik tertutup rapat sebelum anggota Penguatkuasa Syariah daerah Kuala Terengganu mengetuk beberapa kali sambil memberi salam dan memperkenalkan  diri.


Bagaimanapun, kira-kira 10 minit kemudian, pintu utama masih belum dibuka sebelum anggota terlibat terpaksa bertindak memecah pintu tersebut.


Pemeriksaan lanjut di dalam bilik mendapati seorang lelaki sedang berbaring di lantai manakala seorang gadis berada di dalam tandas dipercayai sedang bersembunyi.


Hasil soal siasat, mereka mengaku hanya berdua di dalam bilik itu dan tiada hubungan suami isteri atau mahram.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]