‘Hanya mampu terlantar’

in Edisi Utara by


KOTA KUALA MUDA – Seorang pemandu van kilang dari Kampung Bukit Damak tidak mampu lagi menyara isteri dan enam anak kerana terlantar akibat strok.


Ros Puteh, 54, berkata, dia baharu sahaja dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital Isnin lalu dan kini menumpang di rumah kakak, Rakiah di Kampung Teluk Nipah tidak jauh dari rumahnya berikutan kedudukan rumah yang agak tinggi, daif dan bumbung bocor.


Menurutnya, dia kini mengharapkan bantuan bulanan wang tunai dari Lembaga Zakat Negeri Kedah yang diterima.


“Setakat ni saya dah tak boleh buat apa lagi dan hanya harapkan isteri, anak dan kakak saja,”katanya.


Isterinya, Fazilah Taha, 39, yang bekerja di sebuah kilang di Prai terpaksa meminta cuti sementara selama seminggu bagi menjaga suaminya dan menguruskan enam anak berusia antara 7 hingga 17 tahun.


“Walaupun suami minta berhenti kerja, saya tetap kena kerja. Sebab sekarang tak dak sapa nak sara. Anak-anak ramai yang masih kecil,” katanya.


Menceritakan kejadian yang menimpa suaminya, Fazilah berkata, ketika tidur nafasnya agak kuat dan anggota badan sebelah kanan berasa sakit serta tak boleh digerak atau disentuh.


“Dia kata sakit kat leher, ada bisul dan tak boleh gerak. Saya terus telefon ambulans dan bawa ke hospital, lepas seminggu dah boleh balik, tapi tangan dan kaki kanan masih tak boleh gerak,” katanya.


Buat sementara waktu, Ros Puteh terpaksa menumpang di rumah Rakiah, sementara isteri dan anak-anaknya secara bergilir singgah setiap pagi, petang dan malam bagi menguruskannya termasuk memberi ubat dan menyuapkan makanan.


Dia bergantung sepenuh­nya kepada susu dan makanan yang berasaskan cecair seperti campuran oat dan susu.


Tinjauan Sinar Harian ke rumah mereka di Kampung Bukit Damak mendapati keadaan agak uzur dengan bumbung bocor dan tidak terurus.


Dalam masa sama, ahli jawatankuasa masjid turut hadir ke rumah Rakiah bagi menziarahi Ros Puteh serta memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan bebanan mereka.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]