Henti langgan Utusan langkah jimat cermat

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak mengetahui mengenai arahan pemberhentian langganan akhbar Utusan Malaysia di sekolah, universiti, kolej dan institusi di Kementerian Pendidikan.


Menurut Maszlee, beliau perlu menyemak dahulu arahan dikeluarkan penasihat khasnya, Wan Saiful Wan Jan dalam satu memo bertarikh 18 Julai itu.


Bagaimanapun, Maszlee tidak menolak kemungkinan pemberhentian langganan itu sebagai salah satu langkah kementerian melakukan penjimatan.


“Saya belum dapat maklumat, biar saya semak dulu. Saya kena tanya Wan Saiful dahulu.


“Sebab sekarang kita dalam langkah berjimat cermat. Surat khabar pun boleh baca online,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.


Memo berkenaan dikeluarkan oleh Wan Saiful dan dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas.


Kandungan memo itu adalah bagi memberitahu mengenai pembatalan serta merta langganan surat khabar Utusan Malaysia di Kementerian Pendidikan.


“Untuk makluman Datuk, pihak Yang Berhormat Menteri memohon agar langganan surat khabar Utusan Malaysia bagi semua bahagian, agensi, sekolah, universiti, kolej dan semua institusi di dalam Kementerian Pendidikan dibatalkan serta merta,” kata memo itu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]