Ibu tunggal dua anak COD Healthy Food untuk sihat dan kurus

in Edisi by


KOTA BHARU – Bagi yang berdiet sudah tentu sukar untuk mendapatkan makanan sihat yang sedia dimasak di kedai-kedai makan atau restoran biasa lebih-lebih lagi kekangan masa kerana sibuk bekerja sudah tentu menyukarkan lagi badan untuk sihat dan kurus.


Bermula dengan permintaan seorang rakan yang mahukan makanan daripada menu sihat, ibu tunggal dua anak ini memulakan perniagaan makanan sihat secara tunai semasa penghantaran atau cash on delivery (COD).


Bangun seawal jam 4 pagi, Wan Noorhaslinda Wan Abdul Razak, 29, yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah bersengkang mata menyiapkan tempahan makanan sihat kepada pelanggannya.


Baru memulakan perniagaan itu selepas Aidilfitri lalu, Wan Noorhaslinda kini sudah pun mempunyai pelanggan tetap.


Katanya, dia sendiri kini tidak menang tangan namun tetap seronok dan bersyukur serta perlu membahagikan masa dengan baik kerana mempunyai kerja utama yang dipertanggungjawabkan kepadanya.


“Saya cuba untuk uruskan kedua-dua kerja ini dengan baik, rutin saya setiap hati pulang dari kerja, saya akan ke pasar untuk membeli barang basah. Kemudian baru pulang membuat persediaan seperti mencuci bersih bahan-bahan dan siap memotong apa-apa yang perlu sebagai persediaan memasak pada keesokannya.


“Pagi sebelum keluar bekerja, terlebih dulu, saya akan mula memasak makanan sihat yang ditempah pelanggan dan akan membuat COD di tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat kerja sahaja kerana kekangan masa,” katanya.

Siap untuk dihantar ke pelanggan yang membuat tempahan.


Menurutnya, hanya bahan-bahan segar yang digunakan untuk memasak tempahan pelanggan bagi menjaga permintaan pelanggan yang mahukan makanan sihat untuk tubuh badan.


“Saya tidak ada pendidikan secara formal dalam bidang ini tetapi hanya kerana minat dan pembacaan melalui Internet dan sebagainya dapatlah saya cipta pelbagai menu khas buat pelanggan.


“Menu saya juga tidak akan sama kerana saya tidak mahu pelanggan berasa muak dan bagi pelanggan baharu mereka juga akan disajikan dengan menu baru kerana cara masakan saya akan berlainan dari semasa ke semasa, tidak ada menu ulangan,” katanya.


Beliau berkata, setakat ini lebih 30 menu sudah dinikmati pelanggannya melalui masakan bahan utama, ayam, ikan dan daging, sementara sayur-sayuran dan buah-buahan juga menjadi keutamaan Wan Noorhaslinda.


“Antara menu yang disediakan termasuk ayam lada hitam; ayam sumbat bayam; ayam Lemon; filet ikan; ikan salmon; daging lada hitam serta salad ubi kentang; salad buah; sayur dan sebagainya.


“Oleh sebab ini adalah makanan sihat, cara memasak saya gunakan adalah panggang dan rebus selain tidak menggunakan minyak di samping mengurangkan penggunaan garam dan gula.


“Harga saya letakkan bermula RM5 sehingga ke RM15 bergantung kepada menu makanan yang ditempah melalui Facebook Wan Hasslynda,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]