Kepala bapak: Rayer disaran masuk UFC

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Jelutong dari DAP, RSN Rayer disaran memasuki kejohanan sukan seni mempertahankan diri, Ultimate Fighting Championship (UFC) berbanding menjadi wakil rakyat selepas kekecohan Dewan Rakyat berhubung kenyataan ‘kepala bapak’ yang dilontarkannya, semalam.


Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, Rayer seharusnya tidak melontarkan perkataan itu sehingga boleh memperlihatkan beliau selaku seorang ahli parlimen yang samseng.


Katanya, sebagai seorang wakil rakyat, Rayer perlu menunjukkan kematangan dan tidak membuat sebarang kenyataan yang bersifat provokasi.


Malah Shahrul Nasrun turut mempersoalkan adakah kenyataan ‘kepala bapak’ itu dilontarkan untuk membuktikan Rayen sebagai anak jantan.


“Rayer wajib tahu dirinya dipilih bagi membawa suara rakyat bukannya untuk menunjukkan kejantanan atau keberanian apatah lagi menghina pihak lain di dalam Dewan Rakyat.


“Sekiranya Rayer benar-benar mahu menunjukkan kejantanan, saya sarankan Rayer melepaskan jawatan Ahli Parlimen Jelutong dan sertai perlawanan Ultimate Fighting Championship (UFC). Saya pasti ramai yang inginkan Rayer sebagai ‘sparring partner’ mereka,” katanya melalui kenyataan media hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Parlimen kecoh kerana ‘kepala bapak’]


Semalam, Rayer menerima amaran akhir daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kerana menggunakan perkataan kesat ketika berucap di Dewan Rakyat.


Situasi itu berlaku apabila Rayer menggunakan perkataan ‘kepala bapak’ ketika berucap di Dewan Rakyat didakwa dituju kepada pimpinan BN kerana gagal membela kebajikan anggota polis.


Dalam pada itu, Shahrul Nasrun berkata, Dewan Rakyat adalah tempat untuk membawa isu serta permasalahan rakyat dan setiap ahli parlimen perlu tahu bahawa mereka perlu profesional ketika berbahas kerana tingkah laku mereka dilihat rakyat.


“Justeru, ahli-ahli parlimen khususnya Ahli Parlimen Jelutong, Rayer diminta untuk menjaga adab sepanjang perbahasan kerana setiap perilaku serta ucapan di dalam Dewan Rakyat sedang dipertontonkan dan dinilai oleh rakyat,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]