Kerajaan wajar kaji semula ikhtiar perkenalkan SST

in Nasional by


SHAH ALAM – Kerajaan perlu mengkaji semula realiti dan hakikat dalam memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).


Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, mereka seharusnya tidak terlalu terkongkong dengan janji yang mereka berikan sebelum pilihanraya yang lalu.


Menurutnya, jika soal prinsip yang menjadi kerisauan kerajaan, banyak lagi janji (manifesto) pilihanraya yang belum dan tidak mungkin tertunai dalam masa yang terdekat.


“Semuanya ini berlaku kerana kerajaan terlalu terbeban dengan janji-janji yang tidak dibuat dengan rapi dan terperinci.


“Saya berpandangan, tindakan kerajaan untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah langkah yang agak cuai dan kurang cermat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Reezal Meerican berkata, lebih wajar kerajaan melakukan satu simulasi menyeluruh untuk menilai kemungkinan mengurangkan kadar GST dan memperluaskan senarai bekalan kadar sifar, dikecualikan dan dan diberikan pelepasan GST.


Katanya, langkah itu lebih wajar dan tidak membebankan kerajaan.


“Ramai di kalangan wakil rakyat pembangkang merasakan, meletakkan GST pada kadar yang lebih rendah (sebagai contoh 3 peratus), bersekali pengurangan tempoh ‘tax holiday’ akan memberikan impak dan kesan lebih positif kepada ekonomi negara.


“Malah, ia memberikan kerajaan ruang untuk mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi tanpa meletakkan beban kepada rakyat, “ katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Menteri akui SST kurang telus, efisien tapi…]


Dalam pada itu, kenyataan Guan Eng bahawa kononnya pelaksanaan SST akan mengembalikan sebanyak RM23 bilion kepada rakyat adalah satu kenyataan yang terlalu simplistik dan tidak bertanggungjawab.


Reezal berpendapat, hakikatnya pengurangan pendapatan kerajaan dengan anggaran sebanyak RM23 bilion itu mungkin sahaja akan kembali kepada segelintir pihak termasuk peniaga, peruncit, pemborong mahupun mengaktifkan semula rangkaian “black economy” (pasaran gelap) di Malaysia.


Katanya, kerajaan wajar bersikap lebih waspada dalam usaha melakukan pemansuhan GST ini.


“Saya cukup yakin, Menteri Kewangan dan kalangan pimpinan Kementerian Kewangan sendiri, mengakui pengenalan SST bukanlah ‘soft landing’ terbaik kepada ekonomi negara. Ini hakikat yang tidak mungkin boleh dinafikan.


“Langkah lebih wajar adalah merendahkan kadar GST, memperluaskan senarai barangan yang dikenakan kadar sifar dan pengecualian langsung cukai tersebut,” katanya yang percaya kerajaan pastinya sedar akan senarai barangan yang boleh mengurangkan beban dan tanggungan rakyat secara keseluruhannya.


Sebelum ini, beberapa wakil pembangkang termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong bangkit dalam satu perbahasan untuk mencadangkan agar kerajaan melihat semula isu berkenaan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]