'Kita serah kepada SPRM'

in Uncategorized by


IPOH – Kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung tuntutan palsu oleh sebuah syarikat konsultan terhadap Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka).


Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee berkata, siasatan SPRM itu adalah berikutan hasil siasatan audit dalaman yang mendapati berlaku ketirisan perbelanjaan yang berlaku sebelum ini.


Malah menurutnya, siasatan audit dalaman selama empat minggu itu juga mendapati banyak transaksi yang mencurigakan berlaku dan berkemungkinan membawa keuntungan peribadi kepada pihak konsultan berkenaan.


“Peka seperti yang kita tahu adalah syarikat milik penuh kerajaan negeri yang ditubuhkan pada 2011 lalu bagi menangani masalah pengangguran terutamanya dalam kalangan graduan di negeri ini dan pada 2012 sebuah syarikat konsultan telah dilantik dalam bidang pencarian kerja  selain melatih kakitangan Peka untuk menguruskan agensi berkenaan.


“Bagaimanapun, kontrak antara syarikat berkenaan dan Peka hanyalah selama dua tahun dan notis penamatan kontrak telah diberikan kepada syarikat berkenaan oleh salah seorang ahli Lembaga Pengarah Peka, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin pada penghujung Mei lalu iaitu apabila berlakunya peralihan kuasa pimpinan kerajaan.


“Datuk Zainol Fadzi telah menghubungi saya apabila menerima notis mahkamah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berhubung tunggakan caruman selama lapan bulan dan ini seterusnya membawa kepada siasatan audit dalaman,” katanya.


Howard Lee berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Tandatangan Perjanjian Persefahaman  (MOU), Antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Mobile Starhill (M) Sdn Bhd di Bilik Jamuan Dewan Negeri, petang tadi.


Tambah Howard Lee, siasatan awal mendapati  tunggakan bayaran bulanan Telekom Malaysia (TM) sebanyak RM30,000 selain tunggakan bayaran bulanan bagi ruang pejabat di Aras 1, Terminal Amanjaya selama lapan bulan yang mencecah RM80,000.


Selain itu menurut Howard, pihaknya juga ada menerima laporan berhubung pembentangan oleh pengarah syarikat konsultan berkenaan mengenai penempatan seramai 6,000 pekerja setahun di negeri ini sedangkan jumlah sebenar hanya melibatkan seramai 100 pekerja sahaja.


“Kita juga sedia maklum bahawa setiap pembentangan daripada syarikat konsultan kepada Lembaga Pengarah sebelum ini menunjukkan kesemua bayaran telah dilaksanakan, namun hakikatnya segala pembentangan adalah tidak benar.


“Kita juga sedar kecuaian daripada pihak Ahli Lembaga Pengarah dalam hal ini, namun pengarah syarikat konsultan berkenaan didapati telah memperdayakan bukan sahaja kesemua Ahli Lembaga Pengarah serta kakitangan Peka, tetapi semua masyarakat  di negeri ini.


“Justeru, kita serahkan kepada SPRM untuk meneruskan siasatan bagi merungkai lebih banyak ketirisan yang berlaku,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]