Labur di syarikat baju dalam wanita faktor Khazanah dikaji

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menyimpang daripada tujuan asal antara faktor mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melihat semula peranan yang dimainkan Khazanah Nasional Berhad.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata, beberapa perkara yang berlaku sejak tahun lalu telah menuntut kerajaan hari ini meletakkan semula syarikat tersebut di landasan yang ditetapkan.


“Saya ada beberapa contoh yang menuntut kita untuk melihat semula peranan syarikat ini iaitu Khazanah sebelum ini telah melabur sebanyak hampir ASD20 juta melalui sebuah syarikat borong atas talian yang menjual baju dalam wanita dan akhirnya pelaburan ini terpaksa dihapus kira. Ini yang paling kecil berlaku.


“Ada juga pelaburan yang dibuat melalui ekuiti swasta untuk mengambil alih sebuah bank. Oleh kerana perbincangan itu tidak dibuat secara terus dengan bank berkenaan tapi melalui ekuiti swasta tersebut, sekali lagi pelaburan itu terpaksa dihapus kira sebanyak RM3 bilion,” katanya ketika ucapan ke atas Perbahasan Titah Diraja, di Parlimen, hari ini.


Kenyataan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan ahli


Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertikaikan bahawa Khazanah telah menyimpang daripada landasan asal sedangkan dalam tempoh 10 tahun, aset syarikat tersebut telah melonjak dari RM30 bilion kepada RM134.5 bilion.


[ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah kena kembali kepada peranan asal: PM]


Mohamed Azmin berkata, Khazanah perlu kembali kepada landasan asal bagi memastikan aset-aset strategi negara yang telah diletakkan dan diamanahkan kepada syarikat itu dapat diuruskan dengan bertanggungjawab.


“Saya tidak mahu pergi lebih daripada contoh-contoh tersebut, tapi saya bersetuju supaya Khazanah kembali kepada landasan asal.


“Perinciannya daripada contoh-contoh itu kita boleh berikan dalam masa terdekat sebaik pengerusi baharu ambil alih syarikat tersebut,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]