Lima pengerusi universiti ditamat perkhidmatan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menjelaskan bahawa keputusan menamatkan perkhidmatan lima pengerusi universiti awam yang dipilih melalui lantikkan politik adalah demi kebebasan penuh institusi pengajian tempatan (IPT).


Menurutnya, kerajaan perlu bertindak membersihkan semua individu lantikkan politik bagi memastikan kebebasan tersebut dapat dicapai.


“Pada zaman BN memang ada perlantikkan politik, kalau sekarang zaman kerajaan Malaysia baharu kita nak bawa pemimpin baru dengan idea segar dalam dalam universti.


“Jadi apa salah, untuk capai matlamat tersebut kita perlu hapuskan lantikkan politik terlebih dahulu,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) di Parlimen, hari ini.


Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan pengerusi lima universiti awam lantikan politik ditamatkan perkhidmatan.


Mereka adalah Tun Zaki Azmi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS); Tan Sri Sufri Mohd Zin dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Datuk Dr Kamaruddin Hussin dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza); Tan Sri Noorul Ainur Mohd Noor dari Universiti Sains Malaysia (USM), dan Tan Sri Anuwar Ali dari Universiti Putra Malaysia (UPM).


[ARTIKEL BERKAITAN : Pengerusi 5 universiti lantikan politik ditamat perkhidmatan]


Tambahnya, Pakatan Harapan tidak akan membuat sebarang lantikan politik seperti mana yang dinyatakan dalam manifesto mereka.


“Janji Pakatan Harapan selepas ini kita tak akan lantik ahli politik yang ada unsur politik untuk dibawa masuk dalam universiti, ini langkah kita untuk berikan autonomi kepada pihak universiti,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]