Penganjur himpunan perlu serah notis: Mazlan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Segala bentuk penganjuran himpunan aman atau demontrasi perlu membuat permohonan dengan penyerahan notis kepada pihak polis bagi memaklumkan tujuan himpunan itu berlangsung.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, notis 10 hari sebelum perhimpunan itu perlu diserahkan kepada Ketua Polis Daerah.


Menurutnya, notis ini untuk pihaknya mengenal pasti motif himpunan selain bagi mengelakkan ia melibatkan dan mengakibatkan perbuatan jenayah dan sebagainya.


“Selepas notis itu diserahkan penganjur, kita akan nilai permohonan itu sebelum keputusan dibuat sama ada dibenarkan atau tidak.


“Mengikut Akta Perhimpunan Aman, perlu ikut undang-undang dan notis perlu diserahkan 10 hari sebelum dan itu adalah tanggungjawab mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, di IPD Wangsa Maju, hari ini.


Dalam majlis tersebut, Pegawai Turus Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Superintendan Noor Azmi Yusoff  dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif yang bertukar ke jabatan tersebut.


Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan, pihaknya melarang sama sekali himpunan dianjurkan di kawasan-kawasan yang mengganggu orang awam serta lalu lintas.


“Sebab itu notis perlu diserahkan kepada kita, kita perlu teliti sebelum membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak,” katanya.


21 Julai lalu, satu himpunan telah dianjurkan di hadapan Kompleks Sogo di sini oleh sekumpulan mahasiswa dan NGO bagi menzahirkan bantahan terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).


Susulan himpunan itu, Ahad lalu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Mohd Faizzuddin Zai dan timbalannya, Mohamad Shafiq Sharif hadir ke IPD Dang Wangi untuk dirakam keterangan.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]