Penstrukturan air hampir selesai

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Isu penstrukturan semula dan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) kini dalam peringkat terakhir sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat.


Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan sudah dicapai antara Splash, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat.


Bagaimanapun, katanya ia kini hanya tinggal proses dokumentasi yang perlu diselesaikan antara semua pihak yang terlibat.  


“Bagi pihak kerajaan negeri,  kita menganggap perkara ini sudah selesai dan hanya menunggu untuk dimuktamadkan.


“Proses memuktamadkan penstrukturan dan pengambilalihan ini pula mengambil masa kerana ia melibatkan beberapa elemen serta proses yang sangat besar. Jadi kita kena teliti semua.


“Bila nak ubah sesuatu ia perlu persetujuan bersama bagi memastikan semua kandungan dalam perjanjian akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat,” katanya selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ke-54 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.


Terdahulu, Menteri Air,  Tanah dan Sumber Asli,  Dr A Xavier Jayakumar memberitahu proses penstrukturan dan pengambilalihan tersebut menunjukkan perkembangan positif dan dijangka dapat dimuktamadkan sebelum 10 Ogos ini.


Mengulas mengenai tarikh tersebut, Amirudin berkata beliau tidak pasti (akan muktamad sebelum10 Ogos),  namun kerajaan negeri kini hanya menunggu maklum balas daripada semua pihak yang terlibat dan mengjangkakan ia akan diselesaikan secepat mungkin.


Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan jangkaan kenaikan tarif air di Selangor selepas proses pengambilalihan dan penstrukturan air selesai, Amirudin berkata, buat masa ini perkara itu tidak menjadi fokus pihaknya.


“Itu (kenaikan tarif air) lambat lagi. Isu tersebut perlukan penelitian dan sangat pra-matang untuk diumumkan. Lebih baik kita selesaikan isu pengambilalihan ini terlebih dahulu,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]