Perlu yakin dengan pimpinan tertinggi

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Pucuk pimpinan tertinggi Umno pastinya telah mengambil kira pelbagai aspek sebelum melantik Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Umno Selangor dan ia pastinya satu langkah dalam memastikan Umno Selangor untuk terus bergerak ke hadapan.


Adun Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, beliau tidak pasti berhubung dakwaan segelintir pimpinan bahagian negeri tidak bersetuju dengan lantikan itu namun yakin ia satu langkah demi kepentingan Umno.  


“Pertamanya saya tidak pasti dengan kebenaran dakwaan itu samada benar atau tidak ia mewakili suara kepimpinan di peringkat bahagian negeri. Tapi pada saya, secara peribadi selaku ahli Umno, selaku pemimpin dan wakil rakyat yang mewakili Umno, saya berpendapat lantikan itu adalah budi bicara presiden parti.


“Saya yakin kepimpinan peringkat tertinggi parti telah mengambil kira semua aspek sebelum melantik beliau sebagai Pengerusi Umno Selangor. Jadi kita yakin dengan keputusan tersebut dan saya rasa kita perlu beri masa untuk corak kepimpinan beliau membawa perubahan yang positif kepada Umno Selangor.


“Saya yakin Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno mempunyai misi dan visi beliau yang tersendiri dalam mencorak strategi kepimpinan parti di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


Selain itu, Imran berkata, adalah terlalu awal untuk menilai prestasi Ismail Sabri selaku pengerusi Umno negeri yang baharu, apatah lagi dalam situasi Umno berada dalam saf pembangkang.


“Untuk menilai prestasi beliau terlalu awal, namun jika ditanya komitmen beliau sebagai pengerusi umno dan saya lihat beliau berikan komitmen penuh dan sentiasa bersama jentera,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]