Pesakit kanser kongsi pengalaman melalui tulisan

in Edisi by


JOHOR BAHRU – Siapa sangka tubuh badan sihat sebelum ini, namun sebenarnya menghidap kanser. Begitulah dirasai bekas Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggung Ibrahim, Zaiton Mohamad, 58, yang disahkan menghidap kanser ovari tahap tiga pada 2012.


Menurutnya, penyakit tersebut mula dikesan ketika beliau menghadapi masalah sesak nafas sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.


Katanya, sejak itu, doktor di klinik berkenaan mengarahkannya untuk merujuk ke Hospital Pakar KPJ Johor Bahru untuk memeriksa lebih terperinci.


“Saya bingung pada mulanya apa yang berlaku pada diri saya kerana sebelum ini selalu batuk lebih-lebih lagi bila tidur malam.


“Ingatkan saya tersedak sebab orang bercakap pasal saya, macam kata orang tua-tua dulu, rupa-rupanya tak,” katanya ketika ditemui dalam majlis Seminar Memperkasa Kesedaran Kanser Di Kalangan Wanita di Hospital Permai Johor Bahru, semaalm.


Zaiton berkata, pada mulanya doktor syak kanser paru-paru selepas mendapati paru-parunya hanya tinggal sebelah, namun selepas pemeriksaan, doktor menemui tumor sepanjang lapan sentimeter di belakang rahim kirinya.


Menurutnya, selepas pembedahan pada April 2012, dia merasakan tiada harapan untuk meneruskan hidup.


“Masa itu memang sakit teramat sangat hingga saya rasa sudah tiada harapan. Alhamdulillah saya dikelilingi orang yang menyayangi saya dan sentiasa membisikkan kata-kata semangat di telinga saya.


“Itu pengalaman 2012 yang tak boleh saya lupakan sehingga saat ini,” katanya.


Zaiton berkata, ketika menjalani kimoterapi, beliau turut berhadapan pelbagai masalah termasuk rambut gugur dan masalah ulser kerana dalam badan terlalu panas.


Menurutnya, ketika proses itu, beliau seakan putus sangka, namun atas sokongan keluarga, beliau bangkit melawan penyakitnya itu.


“Dalam pada itu, saya turut bergaul dengan ramai orang di hospital dan bertanya cara pemakanan untuk pesakit yang menjalani rawatan seperti saya.


“Alhamdulillah, saya cuba semuanya dengan mengamalkan pemakanan sihat. Meskipun rambut, bulu mata dan bulu keningnya gugur, kulit saya tidak kering dan di bawah kelopak matanya tidak lebam seperti kebanyakan pesakit lain kesan kimoterapi dijalankan.


“Pada mulanya saya tak mahu menjalankan rawatan kimoterapi kerana takut apabila kerap mendengar perkara negatif berkaitan rawatan ini, namun selepas dinasihatkan doktor saya akur.


“Alhamdulillah, saya hasil perkongsian daripada seseorang untuk berkongsi cara pemakanan melalui pengalaman ahli keluarganya yang menghidap kanser, sehingga keadaan fizikal saya tidak terlalu teruk akibat rawatan kimoterapi,” katanya.


Katanya, disebabkan ramai bertanya, beliau kongsi pengalamannya melalui buku Kanser dan Kemoterapi yang ditulis semasa menjalani rawatan kemoterapi pada Mei 2012.


“Menerusi buku tersebut, saya berkongsi malah apabila saya datang ke hospital untuk buat rawatan susulan saya bagi buku itu secara percuma kepada mereka.


“Ini sumbangan saya untuk bantu penyakit kanser. Alhamdulillah, sekarang ini doktor telah sahkan tahap kesihatan saya stabil dan setiap enam bulan saya akan jalani pemeriksaan,” katanya.


Beliau turut menasihatkan kepada pesakit kanser supaya jangan takut dan fobia dengan perkataan kanser itu.


“Kita jumpa dengan orang yang arif, kita cari pakar dan amalkan makanan yang betul-betul seimbang serta jangan mudah cepat putus asa,” katanya.     

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]