PH jangan prejudis terhadap media

in Nasional by


SEREMBAN – Hubungan pengamal media dengan kerajaan yang memerintah perlu saling lengkap melengkapi dan tidak sepatutnya wujud sikap prejudis bahawa anggota media adalah propembangkang.


Penganalisis politik, Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kebanyakan anggota media hari ini berkhidmat kepada kerajaan semasa yang ditadbir PH hasil gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah dan Bersatu.


“Ini kerana peranan media amat penting bukan sahaja dalam melaporkan program yang dilaksanakan kerajaan bahkan aktiviti parti-parti berkenaan,” katanya di sini.


Usaha mendapatkan pandangan beliau terbit berikutan keadaan kelam kabut yang dialami petugas media di negeri ini yang mahu melaporkan proses pencalonan bagi pemilihan pucuk pimpinan PKR negeri Sembilan, baru-baru ini.


Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengamal media kerana walaupun PKR kini mentadbir negeri ini namun masih menganggap mereka parti pembangkang.


Ada pengamal media yang mendakwa mereka telah diminta untuk beredar dari lokasi oleh urusetia parti setelah menunggu beberapa jam, malah ada di kalangan petugas media yang terpinga-pinga memandangkan tiada individu yang dapat berperanan sebagai pemudah cara untuk membolehkan mereka mendapatkan sebarang maklumat mengenai calon yang menawarkan diri.


Menurut seorang pengamal media, meskipun mereka tidak dijemput, prapemilihan PKR di negeri ini sudah tentu menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan media bahkan masyarakat apatah lagi ia melibatkan pencalonan daripada menteri besar yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.


Justeru, dalam hal ini perlulah wujud keadaan ‘menang-menang’ baik kepada parti politik dan juga media agar saling lengkap melengkapi.


Selaku parti yang membentuk kerajaan di Negeri Sembilan bersama-sama dengan komponen parti dalam PH, proses pencalonan bagi pemilihan PKR sudah semestinya mempunyai nilai berita yang menarik untuk disajikan kepada masyarakat.


Sehubungan itu, Mohd Izani berkata atas semangat Malaysia baharu, PKR Negeri Sembilan tidak boleh lagi bersikap prejudis bahawa media yang ada hari ini adalah media propembangkang.


“Ini kerana kebanyakan media hari ini berkhidmat kepada kerajaan semasa. Peranan media ini amat penting bukan sahaja dalam melaporkan aktiviti yang dilaksanakan kerajaan bahkan juga membantu menaikkan imej parti.


“Jika liputan yang baik dapat diberikan oleh media kepada parti ekoran kerjasama yang diberikan, maka sudah tentu kredibiliti dan imej parti akan meningkat.


“Pemimpin dan anggota akar umbi harus mempercayai dan mempunyai hubungan baik dengan media arus perdana yang lebih berkredibiliti berbanding media sosial. Pemimpin parti juga perlu sedar bahawa  sebelum PRU14 mereka adalah pembangkang tetapi sekarang ini mereka adalah kerajaan,” katanya.


Beliau berkata selagi laporan itu tidak memberi kemudaratan dan ancaman, media seharusnya diberi peluang seluasnya untuk melaporkan apa yang berlaku.


”Pucuk pimpinan dan anggota parti perlulah segera mengubah cara pendekatan dan pemikiran supaya dilihat lebih mesra media,” katanya.


Mohd Izani berkata, beliau sedar bahawa untuk mengubah mentaliti pembangkang kepada kerajaan akan mengambil masa yang lama dan begitu juga parti sebelum ini, namun ia memerlukan perubahan drastik agar parti, kerajaan dan media dapat berjalan seiring bagi menerangkan apa juga dasar yang dibuat demi manfaat rakyat.


“Jika terdapat sekatan-sekatan tertentu atau tidak dijemput misalnya, media akan menghadapi masalah dalam kerjanya. Sikap prejudis terhadap media mesti dihentikan. Atas semangat Malaysia baharu ini, parti dan kerajaan mesti mempunyai perspektif yang baharu yang lebih menghargai media.


Kebebasan media untuk melaporkan isu perlu diberikan selagi mereka tidak memberi ancaman  kepada soal keselamatan negara, keharmonian kaum dan imej kerajaan serta parti,” katanya.- Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]