Tak cukup mohon maaf, letak jawatan

in Uncategorized by


IPOH – Tindakan meletak jawatan satu-satunya solusi bagi mengurangkan ketegangan yang berlaku disebabkan kenyataan menyinggung perasaan oleh Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.


Ketua Pusat Khidmat Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, permohonan maaf tidak mampu menjernihkan keadaan malah, masyarakat Melayu tidak akan menerima permohonan maaf tersebut.


Katanya, sebagai pemimpin kerajaan, tindakan mengeluarkan kenyataan membuta-tuli dan cuba mencetuskan provokasi kaum seharusnya dielakkan demi keharmonian kaum di negara ini.


“Kenapa harus timbul provokasi sebegini, walhal sudah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai hak-hak keistimewaan orang Melayu.


“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum seharusnya kita saling menghormati antara satu sama lain bagi mengelakkan sebarang ketegangan serta perpecahan yang sekaligus akan memberi impak negatif kepada negara,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.


Mohd Rawi berkata, Kula Segaran tidak layak untuk menjadi pemimpin berdasarkan keceluparan dan sikap biadab beliau.


“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir perlu melihat perkara ini dengan serius kerana jika tidak dibendung akan menjadi malapetaka kepada negara.


“Sewajarnya setiap pemimpin perlu bersikap hormat-menghormati antara kaum dan sentiasa mengutamakan keharmonian dalam apa jua yang dilaksanakan,” katanya.


Semalam, Pemuda Umno Negeri mendesak M Kula Segaran meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga Manusia berikutan kenyataannya yang merujuk ‘Melayu sebagai pendatang’ boleh menimbulkan ketegangan kaum.  


Dalam pada itu, Kula Segaran semalam sudahpun mengemukakan permohonan maaf di atas kenyataan kontroversi dalam satu ucapan di Negeri Sembilan baru-baru ini.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]