Tindakan tegas penceroboh tanah kerajaan

in Nasional by


KUALA SELANGOR – Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor mengambil tindakan tegas meroboh dua struktur binaan sementara dan satu rumah ibadat persendirian yang dibangunkan di atas tanah kerajaan di Jalan Bagan Tanjong Keramat, di sini.


Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menjelaskan, tindakan tegas itu diambil seiring keputusan Mesyuarat Tindakan Penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.


Menurutnya, tiga struktur binaan yang didapati di dalam simpanan sungai Selangor itu tidak mendapat sebarang kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Notis pengosongan tanah juga dikeluarkan Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor pada 25 Mei lalu dan notis kedua diberikan pada 17 Julai lalu dan dimaklumkan kepada pemilik premis supaya mengosongkan kawasan terbabit.


[ARTIKEL BERKAITAN: Roboh rumah selepas abai notis]


“Notis pengosongan tanah sudah tamat tempoh dari notis dikeluarkan bagaimanapun pemilik bangunan tersebut tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengosongkan kawasan,” katanya.


Tegasnya, jalan keluar masuk ke kawasan itu akan dikorek bagi membina longkang untuk mengelakkan tanah kerajaan itu terus dimasuki kenderaan atau diceroboh semula.


“Pemilik binaan juga akur dengan tindakan penguatkuasaan terbabit dan berjanji akan menjalankan kerja pembersihan dalam tempoh tiga hari,” katanya pada operasi yang ditamatkan jam 12 tengah hari.


Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai Operasi Bersepadu Tindakan Penguatkuasaan Daerah Kuala Selangor bagi merobohkan binaan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.


Dalam operasi itu melibatkan kekuatan 65 anggota polis, TNB, Air Selangor, JPS, JKR Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]