Tujuh jenazah Pati tak dituntut dikebumikan

in Edisi by


KOTA TINGGI – Tujuh jenazah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang terlibat nahas bot pancung karam di perairan Tanjung Punggai, awal bulan lalu selamat dikebumikan.


Kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkubukan Islam Makam Dagang, Kampung Makam selepas tidak dituntut oleh waris sejak ditempatkan di Bilik Mayat Hospital Kota Tinggi 2 Julai lalu.


Majlis pengebumian juga dilakukan selepas mendapat persetujuan dari pihak konsulat Indonesia yang tidak dapat menemui waris di negara berkenaan bagi tujuan tuntutan.


Kadi Daerah Kota Tinggi, Suhaimi Rebu ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pengkebumian itu melibatkan jenazah dua perempuan dan lima lelaki.


“Jumlah semua mayat tidak dituntut adalah tujuh. Kesemua mayat telah selamat dikebumikan.


“Di mana proses pengkebumian mengambil masa selama tiga jam bermula jam 12 tenghari hingga jam 3 petang di Makam Dagang, Kampung Makam,”katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut manakala 25 selamat selepas bot pancung dipercayai membawa masuk Pati dari Batam karam kira-kira jam 12 malam di perairan Tanjung Punggai, 2 Julai lalu.


Maklumat kejadian itu diterima pihak Maritim kira-kira jam 4.45 pagi dari petugas pelantar minyak berhampiran yang menemui dua orang mangsa cuba mendapatkan bantuan.


Dipercayai seramai 44 orang Pati berusia 20-an hingga 40-an menaiki bot pancung berkenaan yang dikatakan bergerak dari Batam kira-kira jam 10 malam sebelum karam kira-kira 5.2 batu dari perairan Tanjung Punggai akibat lebihan muatan dan cuaca buruk.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]