Upah warga asing bungkus ketum

in Edisi Utara by


PADANG TERAP – Polis menahan beberapa ahli sindiket penyeludupan daun ketum yang disyaki mengeksploitasi warga asing untuk membungkus daun ketum bagi pasaran negara jiran dalam serbuan di Naka, Kuala Nerang, di sini, Ahad lepas.


Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 11 malam pada 29 Julai lepas.


Beliau berkata, seorang lelaki Myanmar ditahan di sebuah bangsal di Jalan Nami, Kampung Baru Thai, manakala seorang lelaki warganegara Malaysia serta seorang lelaki Thailand ditahan di Kampung Berdikari.


“Berdasarkan serbuan itu, kita merampas 1,980 kilogram (kg) daun ketum, sebuah kenderaan Mitsubshi Pajero, selaras senapang angin dan dadah jenis syabu dan eramin 5 seberat 7 gram (g).


“Melalui siasatan, polis mendapati sindiket itu beroperasi hampir dua tahun dengan mendapatkan bekalan daun ketum antara 2,000 hingga 2,500kg setiap hari dari penduduk sekitar Naka dengan harga RM10 per kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, di sini, petang tadi.


Beliau berkata, sindiket berkenaan membawa masuk beberapa warga asing secara haram ke Malaysia untuk dieksploitasi bekerja sebagai pembungkus daun ketum.


Menurutnya, sindiket berkenaan memberikan warga asing itu tempat tinggal di bangsal, yang mana mereka bekerja dengan bayaran upah gaji RM1,500 sebulan.


“Pada mulanya, sindiket akan ajar warga asing ambil dadah. Apabila mereka telah ketagihan, mereka akan mendapatkan bekalan dadah semula daripada sindiket.


“Kita dapati warga asing ini akan gunakan duit gaji diterima untuk membeli dadah dari sindiket. Jadi, sindiket gunakan peluang atas situasi ini dengan mengeksploitasi mereka untuk membungkus daun ketum,” katanya.


Zulkifli berkata, daun ketum yang siap dibungkus akan dibawa masuk ke negara jiran melalui laluan tikus untuk dijual kepada ejen negara jiran kerana nilai pasaran di sana lebih tinggi dianggarkan mencecah RM90 sekilogram.


Menurutnya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan ahli sindiket penyeludupan daun ketum tersebut dipercayai terdiri daripada rakyat tempatan.


Kesemua suspek direman empat hari bermula 30 Julai di lokap IPD Padang Terap di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]