Asean gesa penyelesaian punca konflik di Rakhine

in Global by


SINGAPURA – Satu penyelesaian yang komprehensif dan berpanjangan perlu dicari bagi menangani punca utama konflik di Rakhine Myanmar, kata Asean.


Badan serantau 10 negara itu juga menegaskan terdapatnya keperluan mewujudkan persekitaran kondusif, supaya komuniti yang terjejas berpeluang membina semula kehidupan.


Gesaan itu disuarakan menerusi Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri Luar Asean ke-51 di sini, Khamis, yang mana ia turut menyatakan langkah paling penting ialah membenarkan pelarian kembali semula ke Myanmar dengan selamat, aman serta bermaruah, tanpa berlengah.


Mesyuarat maklum akan kemajuan dilakukan kerajaan Myanmar dalam melaksanakan cadangan laporan akhir Suruhanjaya Penasihat di Rakhine, di samping menggalakkan negara itu untuk terus melaksanakan usul yang lain.


Asean juga mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Bebas Siasatan oleh Myanmar.


“Kami menyatakan sokongan berterusan untuk program bantuan kemanusiaan Myanmar di Rakhine dan menyambut baik kerja berterusan Pusat AHA, diketuai kerajaan Myanmar bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada semua yang terjejas tanpa sebarang diskriminasi,” kata menteri-menteri Asean dalam kenyataan itu.


Asean turut menyambut baik perjanjian antara Myanmar dan Bangladesh yang ditandatangani pada 23 Nov, 2017 mengenai proses mengembalikan semula pelarian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai Myanmar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 6 Jun 2018 untuk memudahkan proses penghantaran balik pelarian.


Turut disambut baik usaha berterusan Kumpulan Kerja Teknikal yang melaksanakan pelan kerja MoU tersebut. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]