Bantahan pelajar di Dhaka masuk hari kelima

in Global by


DHAKA – BANGLADESH. Kerajaan Bangladesh menutup sekolah tinggi di seluruh negara hari ini ketika puluhan ribu pelajar melancarkan bantahan yang memasuki hari kelima selepas dua remaja maut akibat dilanggar bas yang memecut.


Pihak berkuasa merayu kepada pelajar supaya membatalkan demonstrasi yang hampir melumpuhkan ibu kota ini dan menyebabkan kedutaan asing mengeluarkan amaran perjalanan.


Namun ribuan pelajar menyekat persimpangan utama di sini ketika polis bersenjatakan perisai dan cota menghalang penunjuk perasaan di beberapa bahagian ibu kota dengan sesetengah melaporkan kenderaan dirosakkan.


Kemarahan masih tidak reda sejak sebuah bas yang mengejar penumpang melanggar seorang budak lelaki dan perempuan di tepi jalan Ahad lalu.


Komen tidak sensitif oleh seorang menteri kerajaan, Shajahan Khan, turut mencetuskan kemarahan baharu.


Khan mempersoalkan mengapa timbul kemarahan membara berhubung kematian dua kanak-kanak tersebut namun tiada reaksi apabila 33 maut dalam nahas bas sehari sebelumnya.


Wujud tuntutan di media sosial supaya beliau meletak jawatan walaupun menteri itu kemudiannya memohon maaf.


Kementerian Pendidikan menutup sekolah tinggi hari ini dalam usaha meredakan rusuhan dan berjanji kepada pelajar bahawa tuntutan mereka untuk pembaharuan keselamatan jalan raya akan dipertimbangkan. -AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]