'Barua' bukan bahasa saya: Anwar

in Nasional by


KLANG – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan suara di dalam tiga rakaman audio yang tular hari ini adalah miliknya.


Menurutnya, gaya bahasa di dalam rakaman berkenaan jelas berbeza dan beliau tidak menggunakan bahasa kesat seperti ‘barua’ seperti suara rakaman itu.


Beliau mengakui telah mendengar rakaman berkenaan dan menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pelantikan ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad.


“Saya tak guna bahasa kesat. ‘Barua’ bukan bahasa saya, jangan tertipu dengan fitnah.


“Saya tidak pernah keluarkan kenyataan mengenai Khazanah, sejak pengumuman lantikan kecuali di Sg Kandis.


“Tapi muncul rakaman suara dengan nada seperti itu. Saya ada dengar rakaman itu, segarang-garang saya pun, istilah barua tak pernah pakai,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Ceramah Khas Bersama DSAI di Bandar Puteri, malam tadi.


Mengulas kemungkinan ia cubaan pihak untuk memecah belahkan PKR menjelang pemilihan parti, Anwar tidak menolak perkara itu namun menyifatkan ia sebagai ‘politik tidak sihat’.


“Saya tak tahu, perkara sebegini adalah sebahagian daripada apa yang akan berlaku menjelang pemilihan, tapi ia sangat tidak sihat. Mereka sepatutnya berpolitik secara terbuka.


“Saya fikir kita (ahli PKR) tidaklah sebodoh itu untuk terpedaya dengan rakaman berkenaan. Tapi kita perlu nafikan sebab ia palsu. Kenyataan dalam rakaman itu tiada asas, palsu,” katanya.


Terdahulu, tiga rakaman suara yang dikatakan mirip Anwar tersebar di media sosial yang menyentuh perihal berkaitan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Ketiga-tiga rakaman suara itu berdurasi lapan saat dan dua lagi masing-masing berdurasi sembilan saat.


[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga rakaman suara mirip Anwar tersebar]


[ARTIKEL BERKAITAN: Itu bukan suara suami saya: Wan Azizah]


[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin bukan ‘barua’ Mahathir]


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]