Bomba pantau 24 jam lori tangki terbalik

in Edisi Terengganu by


BESUT –  Sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih terpaksa memantau sebuah lori tangki membawa muatan petrol dan diesel yang  terbalik di Kampung Anak Ikan, di sini, sejak petang semalam


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Mohd Zamri Omar berkata, anggotanya bersama sebuah jentera dan lori tangki air bomba ditempatkan di situ sejak jam 6 petang semalam sementara menunggu kerja mengangkat lori terbabit selesai, petang ini.


Menurutnya, kerja mengangkat lori tangki itu dijangka selesai sekitar jam 7 malam hari ini selepas semua minyak di dalam tangki dikosongkan.


“Langkah itu diambil bagi mengelak kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini memandangkan  masih ada sisa tumpahan dan baki petrol serta diesel di dalam tangki tersebut.


“Pihak pengurusan syarikat minyak juga telah berusaha memindahkan minyak dari lori tangki tersebut sejak petang semalam dan berterusan sehingga petang ini,” katanya.


Mohd Zamri berkata lagi, kerja memindahkan minyak ke lori tangki lain berdepan kesulitan disebabkan kedudukan tangki yang terbalik.


Menurutnya, dalam tangki itu mempunyai enam petak berasingan mengisi petrol dan diesel manakala setakat jam 5.30 petang ini masih terdapat dua petak minyak belum dipam ke lori tangki lain sepenuhnya.


“Sejurus selepas kemalangan petang semalam, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih dan Besut dengan kekuatan 17 anggota tiba di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.


Menurutnya, pihak bomba terpaksa menggunakan semburan buih untuk menghalang kejadian tidak diingini berlaku memandangkan terdapat sedikit kebocoran.


Mohd Zamri berkata, kejadian tersebut tidak menghalang lalu lintas kerana lori berkenaan sudah memasuki kawasan parkir terletak kira-kira 50 meter dari laluan utama Kuala Terengganu- Kota Bharu, Kelantan.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lori yang membawa muatan 27,300 petrol dan 5,460 diesel terbalik ketika pemandunya, Rosla Ibrahim, 45, memasuki kawasan parkir di hadapan Masjid Kampung Anak Ikan, Jabi.


Bagaimanapun, Rosla yang sempat menyelamatkan diri tidak mengalami sebarang kecederaan.


Kata Rosla, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang, membawa muatan minyak untuk dihantar ke sebuah stesen minyak di Jertih.


Kejadian berlaku ketika dia mahu berhenti rehat di kawasan parkir, sebelum tiba-tiba tangki lori senget dipercayai tidak seimbang lalu terbalik.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]