Cendana tawar 16 geran, perkasa sektor seni dan budaya

in Bisnes by


ORGANISASI yang ditugaskan membangun dan mempromosikan sektor seni dan budaya, Cendana, kini memulakan langkah positif dalam memupuk bakat-bakat seni Malaysia dengan menawar­kan 16 geran di bawah Program Pembiayaan Inku­basi Artis 2018, bernilai ham­pir RM250,000.


Dana tambahan seba­nyak RM205,000 juga telah diperuntukkan kepada artis-artis Malaysia yang telah diberi peluang yang sangat menarik dalam mempamer­kan seni dan budaya Malaysia di pentas antarabangsa.


Pegawai Eksekutif dan Pengasas Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, Cendana memapar­kan dua sisi pendekatan, yang pertama para penerima geran memperoleh manfaat dalam menyalurkan lebih banyak masa dan usaha serta kepakaran membina karya seni mereka ke persada tempatan dan antarabangsa.


Sementara sisi pendekatan kedua adalah memupuk perkembangan seni dan budaya yang baharu.


“Penerima-penerima dana ini merangkumi pene­rima Pembiayaan Inkubasi Artis yang baharu mahupun seni dan tradisi yang telah wujud sekian lama,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis khas pengumuman geran berkenaan di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Pegawai Tugas Khas kepada Menteri Kewangan, Tony Pua.


Tambah Izan Satrina, acara majlis berkenaan adalah satu senario perayaan seni dan budaya yang sungguh luar biasa, pelbagai dan unik di Malaysia.


“Ia tentang melonjakkan seni dan budaya ke hadapan serta memelihara pelbagai disiplin seni budaya agar generasi akan datang dapat menikmatinya, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.


Dalam pada itu, Tony Pua pula berkata, agenda nasional bersifat jauh ke hadapan dan merangkumi watak bangsa yang dapat ditakrifkan melalui rakyatnya, budaya, seni, dan tradisi.


“Usaha Cendana meningkatkan status Malaysia sebagai titik tumpuan seni dan budaya di peta antarabangsa di samping beri inspirasi kepada sumber-sumber seni budaya demi merealisasikan potensi mereka sebagai pemacu ekonomi kreatif adalah sesuatu membanggakan,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]