China Help Desk bantu pelancong China di KLIA, KLIA2

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Lebih 24,000 pelancong China mendapatkan bantuan daripada kaunter ‘China help desk’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) setakat Jun lepas.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata kaunter pertanyaan yang ditubuhkan sejak September tahun lepas itu menerima pelbagai pertanyaan daripada pelancong China termasuk maklumat imigresen dan visa, informasi penerbangan, kemudahan lapangan terbang dan tempat pelancongan menarik di negara ini.


“Inisiatif ini bertujuan menyelesaikan masalah komunikasi antara pegawai imigresen dan pelancong dari China,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan (STAR-Keningau) yang ingin tahu siapa yang bertanggungjawab memastikan pelancong luar negara seperti China, yang tidak faham bahasa Inggeris dan Malaysia, disalurkan ke tempat sewajarnya dan tidak sesat setibanya di lapangan terbang.


Mengenai kejadian dua pelancong Taiwan yang ditahan selepas terlepas keluar tanpa melalui pemeriksaan imigresen baru-baru ini, Mohamaddin berkata ia adalah kes terpencil.


“Kes seumpama ini jarang berlaku, satu dalam sejuta…menghairankan bagaimana dua pelancong ini boleh terlepas pemeriksaan imigresen. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]