Choo Kiang kekal Speaker Dun Pulau Pinang

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Datuk Law Choo Kiang sekali lagi dilantik sebagai Speaker Dun Pulau Pinang untuk penggal kedua, hari ini.


Pelantikan beliau dicadangkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.


Setiausaha Dun Pulau Pinang, M Maheswari mengesahkan beliau telah menerima cadangan itu daripada ketua menteri dalam surat bertarikh 19 Julai 2018.


Adun Sungai Bakap, Dr Amar Pritpal Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Speaker Dun Pulau Pinang yang baharu.


Cadangan itu disokong oleh 37 Adun PH, manakala tiga lagi wakil rakyat pembangkang mengambil sikap berkecuali.


Choo Kiang dalam ucapannya turut mengucapkan penghargaan kepada semua Adun yang telah memberi kepercayaan untuk beliau memimpin dewan tersebut.                            


“Saya nak ucapkan terima kasih juga kepada Adun pembangkang yang tidak lari keluar sewaktu saya mengangkat sumpah sebagai speaker.


“Atas kepercayaan yang diberikan, saya akan berusaha untuk menjalankan tugasan saya dan kewajipan saya sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dengan seberapa sempurna demi menegakkan dan mempertahankan perlembagaan negeri.


“Saya akan pastikan semua peraturan mesyuarat Dun dipatuhi. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada semua Adun kerana dipilih sebagai Adun Pulau Pinang pada PRU14 lalu.


“Saya harap ahli-ahli yang berhormat dapat mematuhi peraturan mesyuarat dengan disiplin, berintegriti dan bertanggungjawab tanpa mengira kedudukan serta fahaman politik,” katanya.


Beliau turut mengharapkan sesi perbahasan yang akan berlangsung nanti ringkas dan padat.


“Laluan tetap laluan, kawan tetap kawan dan dewan tetap dewan. Bagi memastikan kelancaran perjalanan dewan, adalah penting sekali lagi saya menegaskan untuk setiap ahli yang berhormat memahami dan mematuhi peraturan.


“Saya harap ahli-ahli yang berhormat dapat menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan agar suara dan permasalahan rakyat dapat disampaikan dalam dewan ini.


“Semoga persidangan dewan kali ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli-ahli yang berhormat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya.


Choo Kiang buat pertama kalinya dilantik sebagai Speaker Dun Pulau Pinang pada 2013.


Beliau pada ketika itu telah mencipta sejarah apabila menjadi Speaker Dun bukan berketurunan Melayu pertama di Pulau Pinang.


Sementara itu, Ketua Pembangkang Dun, Muhamad Yusoff Mohd Noor menyifatkan Choo Kiang sebagai seorang speaker yang baik dan berpengalaman.


“Kita berkecuali dalam pelantikan speaker. Kita menerima keputusan daripada semua pihak yang memilih speaker.


“Beliau speaker yang terbaik. Walaupun kita tak ada cadangan lain, tapi kita menyokong yang dilantik sebab dia merupakan speaker yang baik.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]