Gandingan Anwar, Azmin pacu PKR

in Politik by


IPOH  — PKR Perak menyatakan sokongan terhadap Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden pada pemilihan parti hujung bulan ini.


Pengerusinya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, kedua-dua tokoh itu mampu meningkat kekuatan parti, selain mewujudkan gandingan terbaik dan terkuat untuk menerajui parti pada era Malaysia baharu.


“Azmin misalnya adalah pemimpin yang cukup berbakat, selain mempunyai rekod cemerlang menerajui Selangor sehingga menjadi model kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya.


“Kedudukan beliau sebagai menteri kanan dalam Kabinet Persekutuan juga menjadi kekuatan PKR untuk merealisasikan pelaksanaan agenda reformasi dan perubahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Pada 12 Julai lalu, Anwar mengumumkan menawar diri bertanding jawatan presiden dan ia dimuktamad selepas berbincang dengan kepimpinan parti.


Azmin pula pada 18 Julai lalu menjelaskan beliau masih mempertimbangkan sama ada mempertahan jawatan timbalan presiden atau bertanding jawatan presiden parti.


Muhammad berkata, perkembangan lanskap politik semasa menuntut kepimpinan parti yang kuat dan wibawa untuk bertindak sebagai tulang belakang PH. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]