'Geng Dek' tumpas

in Edisi Terengganu by


KUALA BERANG – Polis menumpaskan kumpulan samun ‘Geng Dek’ dengan tertangkapnya empat anggota kumpulan itu termasuk ketua kumpulan dan isterinya dalam serbuan di Kampung Telemong di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata kesemua empat anggota geng itu ditangkap semasa sedang tidur di sebuah rumah pada 5 pagi.


“Kesemua mereka yang berumur antara 29 dan 37 tahun itu berasal dari sekitar Hulu Terengganu kecuali seorang yang beralamat di Kampung Kayu Kelat, Jertih. Ketika ditahan, mereka cuba melarikan diri melalui dapur tetapi dihalang sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan suspek wanita cuba meraih simpati dengan mendakwa sedang mengandung tiga bulan.


“Ujian air kencing mendapati kesemua empat suspek positif dadah jenis Methaphetamine,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.


Turut dirampas lima telefon bimbit dan kereta Toyota Vios yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta dipercayai kereta klon yang diseludup masuk dari negara jiran.


Mohd Adli berkata suspek amat dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes samun, ugutan jenayah dan pecah rumah di sekitar Hulu Terengganu.


“Hasil siasatan juga mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kekerasan, pecah rumah dan samun. Ketua kumpulan mereka iaitu suspek yang berumur  37 tahun dan juga suami kepada suspek wanita itu mempunyai 12 rekod jenayah dalam tempoh 17 tahun bermula 2001.


“Kita percaya penahanan kumpulan ini akan membantu menyelesaikan lebih banyak kes samun dan pecah rumah yang kerap berlaku di sekitar daerah ini,” katanya.


Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki serta merampas selaras senapang patah buatan sendiri bersama sembilan butir peluru, dipercayai digunakan untuk memburu secara haram.


Menurut Mohd Adli, suspek berumur 28 tahun ditahan semasa dalam perjalanan dari Kuala Dura untuk pulang ke rumahnya di sekitar Bandar Kuala Berang kira-kira 4 petang Isnin lalu.


Polis menemukan senapang yang dibalut dengan kain sarung itu di dalam but kereta suspek dan dipercayai memperolehnya daripada seorang lelaki warga Thailand di Kenyir untuk memburu secara haram.


Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun  atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – Bernama


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]