Jangan sesekali ubah sejarah!

in Edisi Utara by


ALOR SETAR –  Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) membantah cadangan beberapa aktivis yang mahukan kerajaan mengkaji semula silibus subjek sejarah di sekolah bagi mengiktiraf komunis sebagai pahlawan kemerdekaan.


Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusuf berkata,  pihaknya sama sekali menolak, sekaligus tidak menyokong cadangan pihak tertentu yang cuba mengiktiraf golongan komunis yang mencetuskan huru-hara ketika zaman darurat dahulu.


“Jangan sesekali nak ubah sejarah ataupun iktiraf komunis sebagai pejuang kemerdekaan. Mana boleh kita iktiraf golongan itu yang menyebabkan ramai tentera dan polis terkorban.


“Jikalau kita iktiraf komunis, apa nasib tentera dan polis yang berjuang bermatian-matian menentang komunis ketika zaman darurat,” katanya.


Wan Shamsudin berkata, ketika zaman darurat, kewujudan Parti Komunis Malaya (PKM) telah banyak mengorbankan tentera dan polis.


Sebelum ini, sebuah wacana ‘Haruskah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? yang diadakan pada Ahad lepas membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan membangkitkan isu sama ada kerajaan perlu menulis semula sejarah zaman darurat.


Dalam forum itu, seorang aktivis, Fadiah Nadwa Fikri meminta buku teks sejarah dinilai semula, malah memberi cadangan supaya komunis diberi pengiktirafan sebagai pejuang komunis.    


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]