Jenazah Adun Seri Setia dibawa keluar dari Hospital

in Nasional by


PUTRAJAYA – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin, 56, dilihat dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Putrajaya menaiki van jenazah pada pukul 9.30 malam.


Shaharuddin yang juga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.28 petang tadi di hospital yang sama.


Setiausaha Kanan kepada Shaharuddin, Zafrullah Aris ketika ditemui media di sini mengesahkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumahnya di Desa Pinggiran Putra, Kajang malam ini selepas selesai dikafankan dan dimandikan di hospital berkenaan.


“Dijangka jam 9 pagi esok jenazah akan dibawa ke Masjid Jamiurrahmah Kampung Limau Manis, Sungai Merab dan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Adun Seri Setia meninggal dunia]


Antara yang hadir termasuk Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, beberapa anggota keluarga dan kenalan Allahyarham turut dilihat hadir untuk menziarahi Allahyarham.


Menurut Zafrullah, Shaharuddin mula menerima rawatan di Hospital Putrajaya sejak Selasa lalu, bagaimana pun tidak dapat dipastikan penyakit yang dihidapinya.


Media sebelum ini melaporkan Shaharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).


Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi selepas menewaskan tiga pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan Bebas.


Beliau kemudian dilantik menjadi anggota Exco kerajaan negeri dan mengangkat sumpah jawatan pada 14 Mei lalu. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]