Kementerian tak galak rawat cara tradisional

in Nasional by


IPOH – Orang ramai tidak digalakkan menggunakan kaedah rawatan tradisional dalam merawat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).


Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebaiknya pesakit yang memiliki tanpa awal jangkitan wabak itu, dirujuk terus kepada doktor.


Menurutnya, langkah itu bagi mengenalpasti tahap keseriusan jangkitan agar langkah kawalan dapat dilakukan segera sebelum menular.


“Walaupun kebanyakan jangkitan HFMD ini tidak serius dan boleh pulih sendiri, langkah kawalan yang betul perlu diambil.


“Memang ada cara berlainan (tradisional), namun setakat ini kita tidak galakkan, seeloknya jika ada jangkitan lapor terus kepada doktor,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia ke-21 di Pusat Konvensyen Ipoh, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas perkongsian di media sosial mengenai rawatan tradisional terhadap kanak-kanak yang dijangkiti HFMD antaranya menggunakan serbuk kunyit, daun semambu dan bedak sejuk.


Katanya, ibu bapa mahupun guru tidak perlu takut, apatah lagi cuba menyembunyikan sebarang kes berkaitan HFMD daripada pengetahuan pakar.


Jelasnya, meskipun telah dua kematian berkaitan HFMD direkodkan setakat ini, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan masih boleh mengawalnya dengan tindakan yang betul.


“Tapi apabila pihak bertanggungjawab cuba nak sembunyikan kes, ini yang kita bimbangkan, takut jangkitan itu berterusan dan tidak dapat dikawal,” katanya.


Menyentuh mengenai cadangan mengguna pakai vaksin diusahakan negara luar, Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, proses pelaksanaannya mungkin mengambil masa yang lama dan kos tinggi.


“Cadangan ini masih baru, pengendaliannya juga ambil masa panjang sekitar 10 tahun, saya dimaklumkan ia belum boleh dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.


Persidangan berlangsung selama sehari itu dihadiri lebih 800 peserta, turut hadir


Presiden Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia, Dr Norsiah Ali dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ding Lay Ming.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]