Litar Antarabangsa Sepang jadi hub sukan permotoran negara

in Sukan by


KERAJAAN kini akan memberi tumpuan utama kepada sukan permotoran yang dilihat memberikan input pelancongan dan impak positif berbanding perlumbaan Formula One (F1).


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sukan permotoran itu dijangka bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan tinggi kepada negara.


Disebabkan itu, katanya, kerajaan akan menjadikan Litar Antarabangsa Sepang dan Sepang masing-masing sebagai hab sukan permotoran serta bandar sukan permotoran.


“Ada berlaku salah faham apabila menyatakan F1 akan kembali ke negara ini. Namun sekarang F1 tidak menjana pendapatan dan kosnya teramat tinggi. Setiap tahun, kerajaan keluar AS$50 juta AS$70 juta untuk menampung kos F1.


“Sebelum ini dperingkat awal semasa diasaskan, ia teramat baik, sebab di benua Asia ada satu atau dua sahaja (F1). Malaysia tak silap saya antara perintis dan kita dapat kuasai…semua datang ke Malaysia. Jumlah penonton sangat tinggi, tetapi lama-kelamaan sekarang Singapura, Dubai, Abu Dhabi sudah ada. Kita lihat F1 makin lama makin mahal,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perlumbaan F1 yang dikatakan akan kembali di negara ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Tun M tidak tolak kemungkinan F1 kembali ke Malaysia]


Semalam, Dr Mahathir dilaporkan tidak menolak kemungkinan perlumbaan F1, yang kali terakhir dihoskan Malaysia tahun lepas, diadakan semula di negara ini.


Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, kementerian juga akan mencipta rangkaian lain dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan menerusi fokus terbaharu itu.


“Kita tak nak hanya ada pemandu sahaja, tetapi hendak ada jurutera, jurutera perisian, pindahan teknologi dan yang paling senang adalah melalui MotoGP,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa Malaysia tamatkan F1]


Pada April lalu, Kabinet kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk menamatkan kontrak penganjuran perlumbaan F1 bermula tahun 2018, memandangkan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding dengan kos penganjuran kejohanan tersebut.


Menurutnya, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Litar Antarabangsa Sepang mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak-pihak berkepentingan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]