MBM desak Kula selesai segera isu PTPK

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) desak Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran supaya segera menyelesaikan isu bantuan dana pinjaman latihan kemahiran untuk mengikuti bidang teknikal dan vokasional (TVET) yang berlarutan sejak sekian lama.


Sebelum ini Kula Segaran memberi respons akan menyelesaikan isu bantuan dana ini dengan segera, namun sehingga ke hari ini masih belum ada petanda isu ini menemui jalan penyelesaian.


Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusuf berkata, MBM memahami peranan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) adalah di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang bertanggungjawab untuk menguruskan dana pinjaman latihan kemahiran yang berterusan kepada pelatih yang mengikuti latihan kemahiran.


Katanya, sejak lima tahun kebelakangan ini, MBM mendapati banyak isu berkaitan belia berkemahiran dibangkitkan dan dibincangkan dalam banyak platform.


“Isu yang paling hangat adalah berkaitan dana pembiayaan latihan di bawah PTPK.


“Oleh itu, MBM memohon dan merayu kepada Kementerian Sumber Manusia supaya peruntukan secukupnya dapat disalurkan kepada PTPK,”  katanya dalam sidang media di Pusat Belia Antarabangsa, di sini.


Menurutnya, peruntukan itu membolehkan PTPK memainkan peranan aktif untuk membiayai pinjaman dan bantuan kewangan khususnya kepada belia lepasan sekolah yang ingin mengikuti latihan kemahiran dalam pelbagai bidang pekerjaan.


Katanya, pihak MBM berharap bantuan dana serta merta dapat disalurkan kepada golongan belia yang memilih TVET.


Hadir sama, Setiausaha Agong Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock dan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.


Sementara itu, Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera, Nordin Abdul Malek turut menggesa Kula Segaran supaya menyelesaikan isu-isu kritikal TVET secepat mungkin.


“Antara isu kritikal berkenaan adalah saiz dana PTPK yang semakin mengecil iaitu RM125 juta pada tahun ini.


“Sepatutnya dana berkenaan berjumlah RM500 juta setahun,” katanya.


Menurutnya, Kula Segaran perlu peka dan memandang serius dengan dana yang semakin mengecil itu.


Nordin berkata, sehingga ke hari ini, isu kuota pinjaman bagi sesi ketiga 2018 PTPK untuk pelatih sesi Jun tahun ini masih belum selesai.


“Kami menjangkakan permintaan sekurang-kurangnya 30, 000 pelatih sedia ada dan baharu memerlukan pinjaman pembiayaan.


“Setakat ini, PTPK hanya mampu menyediakan kuota sebanyak RM95 juta bagi menampung kira-kira 6,000 permohonan sahaja sedangkan jumlah sebenar adalah lebih banyak,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]