Misteri 'kehilangan' calon Bebas terjawab

in Politik by


MENJELANG hari penentuan pada 4 Ogos ini, calon Bebas bagi PRK Kecil Dun Sungai Kandis K Murty  akhirnya membuat kemunculan pada hari-hari terakhir tempoh berkempen.


Bertandang ke ibu pejabat Sinar Harian hari ini, K Murthy menjawab semua persoalan yang timbul berhubung isu tersebut, selain isu berkaitan PRK Dun Sungai Kandis.


Ikuti wawancara beliau  bersama wartawan  Sinar Harian


Ramai yang terkejut kemunculan tuan sebagai calaon Bebas, tetapi yang lebih membuat ramai yang tertanya-tanya adalah di mana tuan menghilang sepanjang tempoh berkempen ini?


Sebenarnya saya ada sedikit masalah peribadi kerana pada 24 Ogos ini, adalah tarikh perkahwinan anak perempuan saya.


Maka saya ada sedikit masalah dalam hal mengurus perkahwinan anak.


Namun, berbaki beberapa hari ini, saya akan buat sehabis baik untuk turun berkempen.


Kenapa mengambil keputusan untuk bertanding pada PRK kali ini?


Saya diinspirasikan oleh idola saya iaitu Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliaulah yang memberi saya satu semangat.


Saya sangat kagum dengan apa yang ada dengan Tok Guru, beliau  mempunyai keperibadian yang amat baik yang perlu dicontohi, sebenarnya kita kehilangan negarawan yang cukup merendah diri  dan baik.


Jadi saya harus merendah diri untuk bertanding, dan mengambil sikap  tunggu dan lihat.


Sebelum pergi lebih lanjut, mungkin tuan boleh berkongsi lanjut mengenai kehidupan tuan sebelum ini?


Saya merupakan anak kelahiran Klang  Selangor, yang mempunyai empat orang anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki.


Saya bersekolah Rendah Kebangsaan Pelabuhan Klang dan peringkat menengah di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah sebab itu saya fasih berbahasa Malaysia kerana saya mendapat pendidikan dalam aliran bahasa Melayu.


Sementara dalam bidang kerjaya pula, saya telah berkhidmat dengan kerajaan Negeri Selangor dalam bidang pentadbiran selama 34 tahun di mana saya pernah berkhidmat di Jabatan Bekalan Air Selangor, Jabatan Kerja Raya Daerah Klang dan juga Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor di Shah alam .


Kenapa Tuan perlu dipilih pada 4 Ogos ini?


Sebenarnya saya boleh berbahasa  selain Bahasa Melayu, dan Tamil saya juga boleh berbahasa Hokkien dan bahasa Inggeris.


saya ada keluarga angkat berketurunan Tionghua yang menggunakan bahasa Hokkien iaitu bahasa pertuturan masyarakat Tionghua yang berada di Klang.


Sekarang saya cuma hendak menabur bakti semula  kepada Sungai Kandis dan secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat Selangor melalui Dun ini sekiranya saya terpilih.


Ini azam saya setelah bersara daripada perkhidmatan kerajaan.


Apa perancangan pada Dun Sungai Kandis sekiranya tuan dipilih pada 4 Ogos nanti?


Saya berjanji pada diri saya untuk menabur bakti pada negeri Selangor.


Sebenarnya masa tarikh penamaan calon saya ada sebut ada satu perkataan  wahyu Tuhan iaitu saya mendapat ilham dari Tuhan memberi saya kekuatan masuk bertanding kerana saya ada satu misi walaupun BN dan PKR dilihat lebih kuat.


Langkah saya nanti adalah oleh kerana  tempoh perkhidmatan saya selama 34 tahun dalam perkhidmatan kerajaan Selangor, saya dapati ada masalah yang boleh diperbetulkan lagi, tapi perkara ini tidak  boleh kongsi di sini, cuma ia perlu perbincangan tertutup.


Saya mengambil peluang masuk bertanding sekiranya pengundi Dun Sungai Kandis memilih saya untuk saya berkhidmat kepada mereka, saya akan membawa  masalah mereka di dalam Dewan, bukan hanya khas kepada pengundi sungai Kandis tetapi seluruh rakyat negeri Selangor.


Sebenarnya mereka ada banyak masalah yang perlu diketengahkan jadi mereka boleh suarakan kepada saya dan saya bawa masalah mereka ke dalam Dewan untuk dibahaskan serta diperbaiki kalau sistem itu lemah.


Ada peluang lagikah untuk menang?


Itu tidak pastilah, cuma saya memang ada slogan sebagai anak jati Selangor saya mohon seluruh rakyat Selangor kita harus bangga kita di negeri ini mulalah sebut Selangor Darul Ehsan.


Saya ada beberapa slogan iaitu Malaysia Tanah Tumpahnya Darahku, Malaysia Syurga Bumi ini bermakna Malaysia bumi bertuah yang sangat cantik sebab itu saya nak beritahu Syura di bumi. Kita semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum bersatu kita akan harmoni sebab itulah kita kena  bersatu , sebab bersatu kita teguh bercerai kita roboh.


Dakwaan bahawa masuk  bertanding sekadar hendak pecahkan undi dan dibayar?


Sebenarnya, orang di luar sana bercerita macam-macam sebab lidah kita tiada tulang, mereka boleh cakap macam mana pun tetapi saya dapat didikan agama jadi agama saya ada tegaskan saya harus pegang dengan janji.


Maksud saya… saya ingin menabur bakti jika diberi peluang saya nak tabur bakti saya tidak memihak kepada mana-mana jadi saya boleh jadi wakil rakyat kepada semua kaum jadi ‘YB’ seluruh rakyat.


Harapan pada 4 Ogos ini?


Sebenarnya cara saya tunggu dan lihat , undi pengundi Pas sekarang ini jadi isu.


Saya calon Bebas, jadi saya mungkin jadi pilihan kepada semua pengundi mungkin ada penyokong BN,PKR, Pas tapi sekiranya mereka fikir saya boleh buat pembaharuan bermula di Dun sungai Kandis mereka boleh pilih saya tak perlu paksaan dan undi adalah rahsia.


Walaupun saya tidak berkempen besar besaran tetapi saya ada buat kempen ada secara diam-diam ada cara halus, tak buat cara riuh rendah tidak seperti pada hari penamaan.


Kita harus ada pemikiran betul apabila bertanding dan selepas bertanding kita perlu sentiasa berhemah.


Saya tak suka sentuh hal peribadi orang lain,  saya bukan semua baik dan ada buat silap jadi saya ambil masa ini memohon maaf kepada sesiapa sahaja saya mohon maaf kepada semua.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]