MP lebih suka kritik di laman sosial berbanding Parlimen

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas mengkritik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Hanipa Maidin yang mendakwa sesetengah ahli Parlimen dilihat lebih ‘aktif dan segar’ apabila berbahas isu aurat berbanding isu rasuah dan salah guna kuasa.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas dengan mendesak menteri dan timbalan menteri lebih banyak masa di Parlimen supaya cakna tentang isu yang dibahaskan.


“Saya minta menteri, timbalan menteri lebih banyak masa dalam Parlimen supaya dia tahu apa yang dibahaskan dalam Parlimen supaya dia tahu konteks sebenar.


“Saya tengok komentar Hanipa tu macam dia tak tahu apa yang dibahas sepanjang sesi perbahasan,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.


Seorang lagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Lah Mat Nawi, mendesak menteri dan timbalan menteri menghabiskan masa di Parlimen berbanding mengkritik di Facebook.


“Saya nak minta menteri, timbalan menteri lebih menghabiskan masa berada dalam Parlimen.


“Tak perlu jawab di Facebook secara sinis tapi di Parlimen dan kita bersedia membahsakan di Parlimen, bukan setakat tajuk aurat, apa sahaja tajuk, ahli Parlimen Pas sedia membahaskan apa saja tajuk dalam Parlimen,” desaknya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaari pula berkata, berkaitan isu dibincangkan semalam, diharapkan ‘backbenches’, agamawan PH beri pemahaman berkaitan Islam.


“Jangan hanya jadi pasu dalam PH mereka mesti jelaskan.


“Saya lihat ahli Parlimen PH ada latar belakang sarjana, sepatutnya tak perlu pembangkang bangkit isu ini,”ujarnya.


Sebelum ini, Hanipa melalui kenyataan di Facebook, beliau berkata sesetengah ahli Parlimen dilihat lebih “aktif dan segar” apabila berbahas isu aurat berbanding isu rasuah dan salah guna kuasa.


“Semalam di Parlimen, ada beberapa ahli Parlimen membangkitkan isu penutupan aurat ketika Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) dan Menteri Sumber Manusia (M Kula Segaran) sedang menggulung. Saya ada di dewan masa itu.


“Pengalaman saya di dalam dewan dan melihat setengah ahli Parlimen (beragama) Islam berbahas, saya lihat bila isu seperti itu timbul, relatifnya para wakil rakyat parti itu agak aktif dan segar untuk berbahas dibandingkan isu-isu lain seperti isu rasuah, isu salah guna kuasa, isu pembaziran dan isu-isu lain yang jejaskan kehidupan rakyat,” katanya tanpa menyebut parti yang dimaksudkan.


Pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat semalam, Loke mengulas isu seragam pramugari yang disifatkan tidak menepati kehendak syariah.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]