Muhamad Yusoff dilantik Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Adun Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang yang baharu.


Pelantikan beliau itu diumumkan oleh Speaker Dun, Datuk Law Choo Kiang selepas istiadat mengangkat sumpah Adun di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini.


Terdapat tiga wakil rakyat pembangkang di Dun Pulau Pinang dengan dua daripadanya ialah wakil rakyat BN dan satu daripada Pas.


Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor itu merupakan satu-satunya Adun BN yang dianggap senior telah berjaya mengekalkan kemenangan pada PRU14 lalu.


Muhamad Yusoff berkata, mereka akan jadi pembangkang yang konstruktif dan dinamik.


“Kita akan semak dan imbang kepada kerajaan negeri pada projek dan apa-apa aktiviti yang akan dilaksanakan.


“Kita akan pastikan juga ia menjaga dari segi masalah rakyat dan apa yang dibuat tidak mengganggu dan memberi kemudahan kepada rakyat Pulau Pinang. Itu yang kita akan buat.


“Kita akan beri teguran dan nasihat dengan cara yang baik untuk memastikan segala bentuk pembangunan yang dibuat adalah pembangunan mapan, jaga alam sekitar dan rakyat dapat menikmati segala janji manifesto yang diumumkan,” katanya.


Menurutnya, walaupun hanya terdapat tiga wakil rakyat pembangkang, mereka tetap akan memantau dari segi rasional, keperluan dan masalah rakyat.


“Sudah pasti pihak kerajaan pun akan bersetuju dengan apa yang kita suarakan kerana kita mewakili kehendak rakyat dan kita membangkitkan ketidakpuasan hati rakyat dalam Sidang Dun.


“Memang situasi itu agak berat berbanding sebelum ini kerana jumlah pembangkang lebih ramai,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]