Mukhriz letak jawatan dalam pengurusan OPCOM

in Nasional by


ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan beliau tidak terbabit dalam pengurusan syarikat pengeluar produk fiber optik, Opcom Holdings Bhd (OPCOM).


Bagaimanapun, beliau tidak menafikan masih mengekalkan statusnya sebagai pegangan saham yang dicagarkan kepada bank.


“Saya sudah meletak jawatan dalam syarikat berkenaan sebelum menjadi Timbalan Menteri pada tahun 2009 dan perkara itu semua ada dalam pengisytiharan aset dan liabiliti kepada perdana menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


“Jadi apa jua keputusan dibuat oleh OPCOM, saya tidak langsung terbabit, mahupun ambil tahu,”katanya, pada sidang media selepas melancarkan Sistem Online Syariah MyReCourt di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.


Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai dakwaan dalam laman sosial kononnya OPCOM yang meraih projek Telekom Malaysia Bhd (TM) bernilai RM11.6 juta mempunyai kaitan dengan Mukhriz dan keluarganya.


Mukhriz turut menegaskan, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan pihak TM yang menganugerahkan projek terbabit.


Pada 31 Julai 2018 lalu, OPCOM melaporkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia telah menerima surat penganugerahan kontrak ‘Rakan Unifi’ bernilai RM11.16 juta pada 14 Mei lalu.


Muhkriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu adalah pengasas syarikat yang ditubuhkan pada November 1994 dan pernah menjadi pengerusi sehingga 5 Ogos 2009.


Mengikut laporan TM, OPCOM adalah antara 19 kontraktor yang dianugerahkan kontrak selama 17 bulan, bermula pada 2 Julai lalu.


Pada awal tahun ini, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat pengeluar kabel gentian optik itu memaklumkan bahawa Mukhriz menjual 43,600 saham dan 605,000 saham dalam OPCOM Holdings Bhd, masing-masing pada 2 dan 3 Januari lalu.


Selepas penjualan itupun, Mukhriz masih pemegang saham terbesar dengan memiliki 40.61 juta saham atau 25.18 peratus.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]