PH janji terus perjuang nasib rakyat Palestin

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan memberi jaminan akan terus berusaha memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin daripada kezaliman rejim zionis Israel di pentas antarabangsa, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.


Beliau berkata Malaysia sebagai negara yang aktif menerusi pelbagai platform seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (Nam) akan berusaha mencari penyelesaian isu berkenaan untuk mewujudkan negara Palestin berdaulat.


“Kementerian akan terus memantau pelaksanaan Resolusi 2334 (berkaitan konflik Israel-Palestin). Malaysia bersama negara yang berpendirian sama telah berjaya meminta PBB mengemukakan laporan secara bertulis bagi Resolusi 2334 pada 19 Jun lalu.


“Malaysia akan terus berusaha memperjuangkan isu Palestin di PBB dan organisasi yang lain,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.


Pada 23 Disember 2016, Resolusi 2334 diluluskan dengan sokongan 14 daripada 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) termasuk Malaysia sebagai anggota tidak tetap, yang menggesa Israel agar segera menghentikan pembinaan penempatan haram di bumi Palestin.


Amerika Syarikat, yang mempunyai kuasa veto, tidak mengundi.


Dalam pada itu, 20 kementerian selesai melakukan penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong sepanjang minggu ini. Sidang dewan bersambung Isnin ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]