Rancak program keusahawanan bantu pekebun kecil Risda

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan merancakkan program keusahawanan bagi membantu pekebun kecil Risda meningkatkan pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan hakiki mereka semata-mata.


Menterinya, Rina Mohd Harun berkata dengan harga getah yang tidak menentu dalam pasaran semasa, ia merupakan antara cara bagi mereka memperolehi pendapatan lumayan.


“Sekarang ini pendapatan mereka sekitar RM1,700 bagi setiap hektar dan kita ingin meningkatkan pendapatan mereka dari masa ke semasa, kalau boleh RM2,500 dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab celahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai pelan jangka pendek yang mahu dilakukan kementerian itu untuk membantu pekebun kecil yang memperolehi pendapatan rendah akibat ketidakseimbangan harga getah di pasaran.


Dalam pada itu, Rina berkata tiada keperluan untuk menghentikan projek pembangunan luar bandar yang telah diberi kelulusan oleh kerajaan terdahulu, sekiranya ia memberi impak serta manfaat buat rakyat.


Bagaimanapun katanya, projek tersebut akan dinilai semula mengikut keutamaan serta keperluan meskipun negara kini berdepan kekangan kewangan.


“Projek-projek yang beri direct impact kepada rakyat seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), projek bekalan air dan elektrik, pembinaan jalan kampung dan lampu jalan akan tetap diteruskan supaya ia akan terus dapat dinikmati mereka sebagaimana dalam manifesto PH,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]