Selangor tak beli Splash seperti dakwaan Najib: Azmin

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan Selangor akan membayar Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) bagi pengambilalihannya dengan harga RM2.7 bilion seperti didakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor itu berkata, rundingan pengambilalihan tersebut masih lagi berjalan.


“Apabila saya tinggalkan Selangor, proses rundingan telah dilanjutkan sehingga 4 Julai.


“Saya diberitahu bahawa ia telah dilanjutkan untuk tempoh sebulan lagi sejak itu, bagi mendapat kelulusan Kabinet,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.


Menurutnya, apa yang lebih penting ialah menjaga kepentingan pengguna dengan tidak membebankan kadar tarif yang tinggi bagi membiayai proses pengambilalihan Splash.


Malam tadi, Najib dilaporkan mendakwa Kerajaan Selangor akan membeli Splash dengan harga RM2.7 bilion.


Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa, seorang individu bergelar Tan Sri juga memiliki 30 peratus saham dalam syarikat berkenaan ketika ini.


Dakwa Najib, individu yang tidak dinamakan itu dipercayai ‘rakan’ seorang daripada pemimpin PH dan pengasas sebuah parti.


“Saya ingin memaklumkan bahawa akan ada pembelian Splash oleh kerajaan Selangor dalam tempoh dua tiga hari ini.


“Ia akan dibeli dengan harga RM2.7 bilion,” kata Najib.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]