Siapkan klinik Manjoi ikut jadual: Exco

in Uncategorized by


MANJOI – Kerajaan Negeri mahu pembinaan Klinik Kesihatan jenis tiga Manjoi dapat disiapkan mengikut jadual bagi menggantikan klinik sementara di Jalan Masjid di sini.


Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi berkata, beliau mengharapkan  bangunan empat tingkat yang menempatkan klinik pesakit luar dan kecemasan serta kesihatan pergigian disiapkan Mac 2020.


“Perjalanan projek ini berjalan dengan baik dan bangunan baru ini bakal menempatkan 15 doktor termasuk dua doktor pakar pergigian dan umum.


“Oleh kerana ini projek kritikal tambahan penduduk yang ramai dalam kalangan warga emas, diharapkan projek seluas 0.56 hektar itu dapat disiapkan tanpa sebarang penangguhan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam lawatannya ke tapak projek Klinik Kesihatan Manjoi di sini, hari ini.


Hadir sama, Pegawai Perubatan Kesihatan Pentadbiran Klinik Kesihatan Manjoi, Dr Azlin Yusma Md Yusuf.


Menurutnya, penduduk kini menerima rawatan di sebuah dewan yang dijadikan klinik sementara di kawasan terbabit.


“Kelewatan projek ini akan menimbulkan banyak masalah kerana bangunan sedia ada (dewan) sudah lama dan bocor selain masalah anai-anai. Kemudahan yang ada tidak mencukupi.


“Perbincangan bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan lain-lain turut bercadang mengambil alih dua lot tanah bersebelahan untuk menempatkan 50 tempat letak kereta untuk kegunaan awam,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]