10 regu petinju terbaik berentap

in Sukan by


SEBANYAK 10 regu petinju terbaik bakal berentap pada Kuda Merah Muaythai Challenge and Bike Festival 2018 di Pantai Irama, Bachok, malam esok dan Ahad ini.


Kejohanan anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok serta Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) itu turut menampilkan vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie atau Ahmad Azhar Othman.


Pengerusi kejohanan, Rosli Yaacob berkata, penganjuran itu bertujuan untuk menarik pelancong tempatan dan luar negeri termasuk dari Thailand, Singapura serta Brunei.


“Kita jangka tidak kurang 12,000 orang akan hadir menyaksikan kejohanan yang akan berlangsung selama dua malam berturut-turut ini.


“Bersesuaian Bachok sebagai bandar pelancongan, kita juga harap penganjuran ini sekali gus dapat memperkenalkan daerah ini sebagai destinasi pelancongan bagi sukan Muaythai selain mempromosikan tempat menarik di sini,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat kejohanan itu, semalam. Hadir sama, Ketua Jajahan Bachok, Nik Mohamed Noor Ishak dan Presiden PSBNK, Datuk Seri Mohd Fared Abdul Ghani.


Menurutnya, pihak penganjur telah mengaturkan pertarungan hebat melibatkan 10 regu atau 20 petinju terbaik di negara ini seperti Eyo Saknarong, Paid GC Turbo, Yoo Black Panther Kuda Merah dan Pokcek Torpedo bagi merebut tali pinggang kejuaraan.


“Peminat sukan tinju tempatan berpeluang menyaksikan kehebatan jaguh-jaguh sukan seni mempertahankan diri terbaik di Malaysia selain kita juga turut menganjurkan kempen kebersihan dan keselamatan serentak pada kejohanan ini,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, Datuk Awie Awie akan menghiburkan peminat khususnya penduduk di Pantai Bachok dengan persembahan dikir barat buat pertama kalinya.


“Kami mempelawa semua kelab motosikal di negara ini untuk sama-sama menyertai festival terbabit dan kami juga turut menyediakan 30 gerai jualan.


“Semua perlawanan Muaythai akan diadakan bermula pukul 8 malam manakala tiket berharga RM15 (terbuka) dan RM100 (ringside) pula boleh dibeli di melalui agen tiket kejohanan di talian 019-293 2436,” katanya.  


Tambahnya, pihaknya turut menyediakan tiket secara pakej iaitu bernilai RM150 untuk pakej A yang membolehkan pembeli mendapat pas kemasukan, t-shirt, pelekat, gelang tangan, cabutan bertuah dan makan malam bersama Datuk Awie.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]