4 pemain wanita negara bakal berkelana ke Eropah

in Sukan by


BAKAT dan kemahiran dimiliki pemain hoki wanita negara mendapat perhatian pasukan luar negara apabila empat pemain skuad kebangsaan, Malaysian Tigress, ditawarkan beraksi di Liga Itali dan Jerman.


Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata dua pemain Nuraini Abd Rashid dan Fatin Shafika Md Shukri mendapat tawaran beraksi dengan kelab Butterfly Roma di Itali dari 3 September sehingga 12 November ini.


Dua lagi pemain iaitu Hanis Nadia Onn dan Wan Nur Faezah Md Saiuti ditawarkan beraksi dengan kelab Divisyen Satu Jerman, Sportverein Zehlendorfer Wespen 1911 e.V dari 1 Sept sehingga 31 Oktober ini.


“Ini merupakan satu perkembangan positif untuk mereka menimba pengalaman terbaik beraksi di luar negara. Kalau mereka bermain dalam negara sahaja, kita sekadar hanya jadi jaguh kampung sahaja dan tidak akan ke mana-mana.


“Saya harap sekembalinya mereka daripada negara berkenaan, mereka mendapat minda yang lebih baik dan beraksi lebih cemerlang untuk skuad negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KHM, di sini, hari ini.


Subahan berkata perbelanjaan keempat-empat pemain berkenaan termasuk tiket penerbangan pergi balik dan tempat tinggal ditanggung sepenuhnya oleh kelab masing-masing selain mereka turut menerima elaun latihan.


Beliau menegaskan KHM akan membuat pemantauan berterusan dari segi prestasi empat pemain berkenaan bagi memastikan mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan oleh kedua-dua kelab berkenaan.


Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan, S.Selvaraju, yang menjadi pemudah cara dalam perkara berkenaan, berharap kesemua pemain tersebut menggunakan sepenuhnya peluang diberikan dan tidak sekadar menjadi ‘pelancong’.


“Saya sudah menghadapi pelbagai cabaran seperti keadaan cuaca, budaya, bahasa dan makanan kerana sudah beraksi lebih daripada 30 pasukan luar negara, jadi saya harap empat pemain ini gunakan peluang diberikan sebaik mungkin,” jelas anak jati Perak itu yang pernah beraksi bersama beberapa kelab dalam liga hoki di Itali, Jerman dan Perancis.


Sementara itu, Nuraini ,29, bertekad menggunakan peluang yang terhidang untuk membantu meningkatkan martabat sukan hoki di negara ini yang semakin mendapat tempat di beberapa negara luar.


“Alhamdulillah dengan peluang yang diberikan, saya dan tiga rakan sepasukan lain akan memberikan yang terbaik kepada pasukan masing-masing,” katanya. –Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]