632 kes HFMD dikesan di Terengganu

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seramai 632 kanak-kanak di negeri ini dikesan mengidap penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.


Pemangku Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, jumlah itu meningkat 224.1 peratus berbanding 195 kes direkodkan dalam tempoh sama pada tahun lepas.


Menurutnya, Kuala Terengganu merekodkan jumlah kes paling tinggi iaitu 161 kes diikuti Marang (108), Dungun (92), Setiu (87), Kuala Nerus (66), Besut (48), Hulu Terengganu (45) dan Kemaman hanya 25 kes.


“Setakat ini kita kesan 10 kawasan wabak di seluruh negeri iaitu empat di Kuala Terengganu, dua di Marang dan Setiu dan masing-masing satu  di Hulu Terengganu dan Besut.


“97 peratus daripada semua pesakit yang dijangkiti HFMD merupakan kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun,” katanya ketika ditemui semalam.


Dr Mohd berkata, sejak wabak HFMD menular di beberapa negeri bermula awal Julai lalu, Terengganu mencatatkan antara 35 hingga 45 kes jangkitan setiap minggu.


Bagaimanapun katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana keadaan HFMD di Terengganu masih terkawal dengan tiada sebarang kematian dan kes kritikal direkodkan.


Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak yang menghidap HFMD ke sekolah atau pusat asuhan kanak-kanak (Taska) bagi mengelak wabak itu terus merebak.


“Kita juga menggalakkan pihak pengurusan taska dan sekolah melakukan pemeriksaan saringan sebelum menerima kanak-kanak supaya tidak berlaku rebakan.


“Ibu bapa dan penjaga taska juga perlu menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Jika ada tanda-tanda jangkitan HFMD, segera bawa anak-anak ke hospital untuk diperiksa serta mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]