99 premis judi diserbu di Kluang

in Edisi by


KLUANG – Polis daerah ini telah melakukan sebanyak 99 serbuan ke atas premis perjudian atas talian di sekitar daerah Kluang pada tujuh bulan pertama tahun ini.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 414 orang telah ditangkap iaitu terdiri daripada 101 penjaga premis dan 313 pemain.


“Pelbagai peralatan judi atas talian juga turut dirampas seperti 205 unit komputer, 256 unit komputer riba, 174 unit tablet dan wang tunai berjumlah RM21,256.


“Seramai 54 orang telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 dan kesemua mereka telah dijatuhkan hukuman denda di antara RM2,000 hingga RM5,000,” katanya.


Menurutnya, nilai keseluruhan barang-barang yang dirampas juga dianggarkan berjumlah RM600,000 selain turut berjaya membuat serbuan ke atas 103 premis yang menjalankan catit loteri awam tanpa lesen dengan tangkapan seramai 103 orang.


Katanya, turut dirampas adalah wang tunai RM15,116 dan daripada tangkapan tersebut, seramai 53 orang telah dituduh di bawah Seksyen 4A(a) dan Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka dan dijatuhkan hukuman denda di antara RM800 hingga RM3,000.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]