Anak ketuk pintu hati untuk berubah: Hafiz Suip

in Hiburan by
Hafiz Suip

Anak ketuk pintu hati untuk berubah: Hafiz Suip


SUDAH lapan bulan penyanyi, Hafiz Suip atau nama penuhnya Mohd Hafiz Mohd Suip menjalani kehidupan baharu sebagai seorang bapa.


Akhir Disember tahun lalu, penyanyi Noktah Cinta ini telah menimang cahaya mata pertama bersama isterinya, Nureffy Jesreel Abdullah.


Fasa baharu dalam hidupnya itu telah mengubah penyanyi berusia 28 tahun ini untuk lebih mendekati ilmu agama.


“Bagi saya dalam hidup ini perlu ada keseimbangan. Jika terlalu berhibur pun tak boleh juga.


“Jadi sudah sampai masanya untuk saya berikan tumpuan mendalami ilmu agama tambahan sekarang saya sudah jadi seorang bapa.


“Anaklah yang telah mengetuk pintu hati saya untuk segera berubah,” jelas Hafiz yang ditemui ketika sidang media program Mentor musim ketujuh bertempat di Sri Pentas, Damansara Utama.


Sebagai usaha titik permulaan berhijrah, pelantun lagu Hari Ini Dalam Sejarah mengambil pendekatan menghadiri kelas agama dan berjumpa dengan beberapa rakan artis yang sudah berhijrah.


“Alhamdulillah, bab ilmu agama sedikit sebanyak untuk diri sendiri insyaALLAH, begitu pun, saya perlu mendalami banyak lagi ilmu agama kerana saya sudah ada keluarga untuk dipimpin.


“Kini rutin baharu saya, pergi ke kelas belajar semula tentang asas-asas agama, mengaji al-Quran dan berjumpa dengan ustaz yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri.


“Saya juga pernah berjumpa dengan rakan-rakan artis seperti Shamsul Ghau Ghau, Hairi Othman dan ramai lagi untuk meminta nasihat mereka,” terangnya.


Dalam perkembangan lain, Hafiz kini terlibat dengan program Mentor sebagai tenaga pengajar musim ketujuh.


Selain dirinya, antara barisan tenaga pengajar lain seperti Datuk Syafinaz Selamat, Aizat Amdan, dan Siti Nordiana.


Mengulas tanggungjawab yang diberikan itu, Hafiz mencari bakal protege yang serius dalam memberikan komitmen.


“Kalau yang sudah berkahwin bukan saya menolak, tetapi saya tidak mahu masalah lain yang mendatang boleh mengganggu fokus dia semasa bertanding nanti,” katanya.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]